LTTE: Kes juruteknik, pemandu teksi dipindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur [ 7m ago ]

Mesin AED akan ditempatkan di 10 lokasi sekitar Ipoh

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
IPOH, 19 Nov -- Sepuluh unit peranti mudah alih yang digunakan untuk membantu mangsa dalam kes serangan jantung secara tiba-tiba, ‘Automated External Defibrillator’ (AED), akan ditempatkan di 10 lokasi di sekitar bandar raya Ipoh melalui program ‘Perak Save Heart’ yang akan diadakan minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang Dr Ko Chung Sen berkata mesin itu mampu memberi rawatan kepada orang awam yang tiba-tiba denyutan jantungnya terhenti atau menghadapi serangan jantung dan pengsan di kawasan awam.

“Pembiayaan membeli 10 mesin itu adalah daripada kerajaan negeri dan Persatuan Kardiovaskular Ipoh. Ia akan ditempatkan di beberapa tempat antaranya Padang Ipoh, Stadium Indera Mulia dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo).

“Kami juga akan menyediakan latihan percuma kepada 400 peserta yang bukan berasal dari bidang perubatan di Dewan Bandaraya Ipoh pada Ahad yang akan datang ini,” katanya ketika membahas Belanjawan Perak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah dan beberapa negara di seluruh dunia telah menyediakan defibrillator akses awam atau dikenali sebagai PAD di kawasan-kawasan mereka.

Mengulas lanjut, Dr Ko berkata beliau boleh mengaturkan pemasangan AED sekiranya mana-mana ADUN ingin menyediakan mesin berkenaan di kawasan masing-masing, di mana kos bagi setiap unit ialah RM8,800, yang harus ditanggung oleh ADUN sendiri.

Beliau juga meminta agar kerajaan Perak mengendalikan sebuah program pemeriksaan kesihatan untuk semua ADUN termasuk ADUN pembangkang di negeri ini.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu