Aminuddin minta Rafizi timbang semula hasrat untuk bersara dari politik [ 12m ago ]

Grundfos pilih Malaysia lancar aplikasi perkhidmatan mudah alih

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
Pengarah Perkhidmatan Serantau Grundfos Asia Pasifik Nicolai Thrane
Laporan Eksklusif Oleh: Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Malaysia dipilih negara pertama di rantau ini untuk syarikat pengeluar produk pam air jenama global melancarkan aplikasi perkhidmatan mudah alih berasaskan awan, membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan lebih cekap menggunakan telefon pintar.

Pengarah Perkhidmatan Serantau Grundfos Asia Pasifik Nicolai Thrane berkata aplikasi dikenali SmArt Serv itu boleh diakses pengguna mulai hari ini.

Ia direka untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas untuk menyelesaikan sebarang masalah dengan produk pam Grundfos, mengurangkan proses perkhidmatan dan meminimumkan masa baik pulih.

Di samping itu ia juga memanfaatkan pengintegrasian untuk membolehkan infrastruktur utama Malaysia lancar, dari industri ke utiliti air yang menggunakan produk Grundfos, katanya.

Thrane berkata pemilihan Malaysia sejajar dengan perkembangan bahagian pasaran syarikat dan platform digitalisasi yang mantap.

"Aplikasi ini bertujuan meningkatkan kecekapan khidmat pelanggan dan mengurangkan waktu kerosakan produk kami sebanyak mungkin dan untuk membantu pelanggan menyelesaikan masalah atau menjawab sebarang pertanyaan mengenai produk kami.

Pra pelancaran aplikasi ini dibuat pada September lalu dan sehingga hari ini telah membantu melaksanakan sekurang-kurangnya 600 tugasan berkaitan sistem pam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Melalui aplikasi SmArt Serv, pelanggan boleh menghubungi Grundfos atau rakan kongsi perkhidmatan berhampiran untuk mengemukakan sebarang aduan atau pertanyaan.

Beliau berkata buat masa ini aduan yang dibuat melalui aplikasi itu dapat diselesaikan sekurang-kurangnya dalam masa antara lapan jam dan tiga hari.

Di Malaysia, pam Grundfos digunakan untuk pelbagai perkhidmatan antaranya pengagihan air kepada pengguna,kawalan suhu air dalam penghawa dingin di bangunan komersil, pengurusan air kumbahan dan kawalan banjir untuk utiliti Malaysia.

Pengurusan dan penyelesaian air syarikat ini juga banyak digunakan dalam industri seperti marin, pertanian, pembuatan, jentera, makanan dan minuman.

SmArt Serv dibangunkan dan dilancarkan di India pada 2018. Sehingga ini telah membantu menyelesaikan 35,000 pertanyaan pelanggan di India.

Selepas Malaysia, aplikasi mudah alih itu bakal dilancar di Thailand bulan depan dan di Indonesia Januari 2020.

Servis SmArt boleh didapati di iOS, Android dan Windows, juga boleh dipasang pada komputer meja.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu