Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia [ 1h ago ]

Jawatankuasa Cadangan Rasionalisasi Jabatan/Agensi ditubuh kaji jumlah perjawatan awam

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Cadangan Rasionalisasi Jabatan/Agensi bagi penstrukturan semula jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata jawatankuasa itu bertujuan mengenal pasti pertindanan fungsi antara jabatan dan agensi kerajaan serta mencadangkan rasionalisasi jabatan terlibat termasuk penswastaan.

Katanya, penstrukturan semula jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam berdasarkan kedudukan ekonomi negara dan perkembangan teknologi semasa melalui pelbagai kaedah atau mekanisme.

“Antaranya kajian pertindihan fungsi antara jabatan atau agensi, rasionalisasi perjawatan, pengoptimuman sumber manusia, serah urus fungsi (outsourcing), penyampaian perkhidmatan alternatif, penswastaan, penggunaan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) mengenai langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan kakitangan kerajaan.

Bagaimanapun, Mohamed Hanipa berkata tiada pengurangan kakitangan awam sedia ada berikutan pelaksanaan langkah tersebut, memandangkan jawatan yang dimansuhkan adalah jawatan yang tidak diperlukan dan tidak melibatkan penyandang sedia ada.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu