Kerjasama PBT dan komuniti mampu realisasi perancangan pembangunan hijau - Jaujan [ 6m ago ]

Yang di-Pertuan Agong rasmi Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah Labuan

Tarikh kemaskini: 26/11/2019
LABUAN, 26 Nov -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri?ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (dua, kiri). -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.
LABUAN, 26 Nov -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah Labuan.

Kompleks yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menelan belanja RM26 juta itu beroperasi sejak Januari 2018.

Kompleks yang menempatkan anak yatim dan asnaf ini dilengkapi dengan asrama, gelanggang sukan, surau dan dewan serba guna.

Ketika bertitah pada majlis itu, Seri Paduka menzahirkan harapan supaya kompleks yang lengkap dengan kemudahan ini harus memastikan keberhasilan kepada sahsiah diri anak yatim.

"Kita harus memastikan kompleks ini berupaya melengkapkan anak-anak yatim dengan ajaran agama yang diperlukan sebagai persediaan mereka di hari kelak," titah Sultan Abdullah pada majlis perasmian kompleks berkenaan.

Sultan Abdullah turut menggesa pusat dakwah Islam di seluruh negara, termasuk pusat tahfiz yang menempatkan ramai pelajar untuk mempelajari agama, agar sentiasa mematuhi aspek keselamatan.

"Ada laporan pusat tahfiz terbakar dan kita harap tidak ada lagi kejadian seumpama ini," titah Seri Paduka.

Kompleks Darul Kifayah yang terletak di Tanjung Taras ini mampu menempatkan 200 anak yatim pada satu-satu masa, termasuk dari Sabah dan Sarawak, dan dibangunkan di atas tanah seluas 2.35 hektar.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu