Mangsa kebakaran Kampung Titingan diingatkan tidak boleh bina semula rumah di kawasan sama [ 16m ago ]

Agong kurnia sumbangan zakat, biasiswa kepada asnaf di Labuan

Tarikh kemaskini: 26/11/2019
LABUAN, 26 Nov -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di sini malam ini.

Sumbangan itu berbentuk bantuan peralatan persekolahan bagi sesi pembelajaran tahun 2020 dan bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi yang dikurnia Seri Paduka berdua pada Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada Asnaf di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan insentif khas pelajar cemerlang dan biasiswa Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan bantuan peralatan kesihatan kepada golongan asnaf.

Jumlah keseluruhan bantuan yang dikurniakan pada majlis itu ialah RM2.43 juta.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua berkenan menyantuni golongan asnaf dan orang ramai. Lebih 900 rakyat Labuan pelbagai agama dan bangsa, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat menghadiri majlis itu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Keberangkatan Seri Paduka berdua ke Labuan merupakan lawatan kerja sulung Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu