EKONOMI

PULAU PINANG CATAT PELABURAN PEMBUATAN DILULUSKAN RM13.3 BILION PADA JAN-SEPT 2019

03/12/2019 08:31 PM

GEORGE TOWN, 3 Dis -- Pulau Pinang mencatatkan aliran masuk pelaburan pembuatan yang diluluskan sebanyak RM13.3 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata jumlah pelaburan yang diluluskan itu adalah selari dengan pelaburan domestik bernilai RM1.3 bilion dan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM12 bilion.

Beliau berkata pelaburan yang direkodkan itu bukan sahaja melepasi sasaran tahun penuh iaitu RM10 bilion tetapi juga mencatatkan rekod baharu bagi pelaburan pembuatan yang diluluskan tertinggi di negeri itu sejak 2009.

“Berdasarkan pengumuman terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ini adalah peningkatan sebanyak 247 peratus tahun ke tahun  dan melepasi jumlah tahun penuh 2018 sebanyak RM5.8 bilion,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Chow juga berkata FDI yang direkodkan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 itu merupakan peningkatan sebanyak 445 peratus tahun ke tahun, mencakupi 30.6 peratus daripada jumlah FDI pembuatan Malaysia.

“Tiga penyumbang utama FDI adalah dari Amerika Syarikat (AS), Singapura dan United Kingdom dengan pelaburan yang luar biasa di Pulau Pinang termasuk projek dari Micron Technology, Jabil Circuit dan Smith+Nephew,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian berkata ia jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang mendapat manfaat daripada perang perdagangan AS-China.

Walaupun ketidaktentuan makro-ekonomi global terus meningkat, beliau berkata Pulau Pinang kekal menjadi destinasi menarik kepada pelabur asing untuk mempelbagaikan operasi mereka secara geografi dan asas rantaian bekalan.

“Bagaimanapun, kami masih menekankan kepada pelaburan dan projek (pembuatan) yang berkualiti (seperti produk elektrik dan elektronik, dan peralatan saintifik dan pengukur),” kata Loo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan