Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

MED peruntuk RM5 juta bagi Program Pengeksport Terbaik 2.0 - Menteri

Tarikh kemaskini: 03/12/2019
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi Program Pengeksport Terbaik 2.0 (BEP 2.0) pada tahun depan, kata menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

Beliau berkata peruntukan tersebut menjadi bukti kepada sokongan kerajaan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

“Kerjasama antara tiga agensi, iaitu SME Bank, agensi di bawah MED, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyaksikan sebanyak 73 syarikat berjaya menjana pendapatan eksport sebanyak RM141.4 juta melalui BEP.

“Usaha bersama SME Bank dengan TERAJU dan MATRADE untuk melaksanakan Program BEP tepat pada masanya, terutamanya untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport negara,” katanya kepada pemberita pada pelancaran platform e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) - ODELA, di sini hari ini.

Beliau berkata platform e-dagang itu akan mengubah landskap perniagaan PKS dengan menawarkan akses kepada platform e-dagang yang lebih sistematik dan informatif, terutamanya untuk aktiviti B2B.

ODELA akan membantu kerajaan dalam usahanya untuk mengukuhkan ekonomi digital negara, yang dijangka membuka lebih banyak peluang dan membawa masuk manfaat yang besar.

“Sejajar dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dalam menstruktur dan meningkatkan ekosistem keusahawanan negara, ODELA turut memainkan peranan Tanggungjawab Sosial Digital dengan menyediakan fungsi yang menyeluruh untuk memenuhi keperluan industri B2B dan penggiatnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Aria Putera Ismail berkata sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) utama yang memberi perkhidmatan kepada PKS, bank telah meluluskan pembiayaan baharu bernilai RM87.8 juta kepada 13 syarikat yang terlibat dalam Program BEP.

“Pembiayaan yang disediakan untuk modal kerja dan pembelian aset.

"Daripada 73 syarikat yang menyertai BEP, 43 daripada sektor pembuatan dan 30 daripada sektor perkhidmatan. Bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan peserta, anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) turut menyediakan latihan pembinaan kapasiti yang sesuai,” kata Aria Putera.

Selain CEDAR, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan COOPMATRADE turut dilantik sebagai penyedia perkhidmatan pembangunan kapasiti untuk program itu, katanya.

Menurut Aria Putera, SME Bank telah menetapkan sasaran untuk mempunyai 8,000 peniaga dan pembeli yang menggunakan ODELA selepas tahun pertama pelancarannya.

"ODELA memanfaatkan teknologi baharu bagi membolehkan usahawan membuat urus niaga, memudahkan pertukaran, menggalakkan inovasi dan kerjasama dalam ekosistem yang luas,” katanya.

SME Bank akan terus menyokong inisiatif kerajaan dengan menyediakan pembiayaan kepada PKS terutamanya dalam sektor pelancongan, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020; infrastruktur, pembuatan dan penggunaan teknologi serta mereka yang terlibat dalam sektor berimpak tinggi, kata Aria Putera.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu