Bekalan makanan bagi sambutan Tahun Baharu Cina mencukupi - Salahuddin [ 9m ago ]

Subsidiari Edaran dapat kontrak penyelenggaraan kastam bernilai RM56.71 juta

Tarikh kemaskini: 03/12/2019
KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Edaran IT Services Sdn Bhd (Edaran IT) telah mendapat kontrak bernilai RM56.71 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan perkakasan, perisian pelayan dan aplikasi Sistem Maklumat Kastam daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Edaran IT merupakan anak syarikat milik penuh Edaran Bhd.

Edaran dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata kontrak selama 24 bulan itu berkuatkuasa mulai 1 Sept 2019 hingga 31 Ogos 2021.

"Kontrak ini akan memberi kesan ketara ke atas perolehan sesaham (EPS) syarikat dan hasil daripada kontrak akan menyumbang ke arah perolehan Kumpulan Edaran bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020," katanya.

EPS syarikat dianggarkan meningkat sebanyak 4.11 sen.

Edaran IT merupakan penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan penyelesaian yang lengkap, ia memberikan penyelesaian sistem IT yang canggih termasuk peruntukan, pemasangan, pentauliahan, penyepaduan dan penyenggaraan sistem IT termasuk perkhidmatan yang berkaitan.

Pada 2015, Edaran IT telah dilantik oleh JKDM sebagai pembekal perkhidmatan lengkap kebangsaan.

Selain daripada JKDM, pelanggan utama lain Edaran IT termasuklah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Universiti Teknologi MARA, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu