Mangsa kebakaran Kampung Titingan diingatkan tidak boleh bina semula rumah di kawasan sama [ 43m ago ]

Luncur ais tambah koleksi emas

Tarikh kemaskini: 04/12/2019
Peluncur Ais negara dari kiri Ashley Chin, An Ja Chong, Kynie Chan, Dione Tan meraih pingat emas dalam acara 3,000 meter Relay akhir wanita pada Sukan SEA 2019 di Ice Skating Rink SM Mall hari ini.
Oleh Syaiful Afiq Ahamidi

MANILA, 3 Dis -- Skuad luncur ais negara cemerlang pada hari kelima sukan itu dipertandingkan, selepas menghadiahkan satu lagi pingat emas dalam Sukan SEA ke-30 hari ini.

Pingat emas itu hadir menerusi acara 3,000 meter (m) relay short track wanita, yang berlangsung di SM Megamall Ice Skating Rink, di sini.

Malaysia diwakili gandingan Chan Kynie, Chin Ashley, Chong An Ja dan Tan Dione mengesahkan pingat emas selepas mencatat masa 4 minit 53.235 saat (s).

Mereka unggul meninggalkan pencabar dari Indonesia, yang merakam masa 5:03.758s untuk pingat perak, manakala gangsa menjadi milik pasukan Singapura yang mencatat 5:12.447s.

Selain satu emas, skuad luncur ais hari ini turut menghadiahkan masing-masing satu pingat perak dan gangsa dalam acara short track speed 500m individu wanita.

Tan Dione meraih perak selepas merekod 47.594s meninggalkan rakan senegara An Ja yang mencatat 47.657s untuk gangsa.

Goh Cheyenne dari Singapura meraih pingat emas dengan catatan masa 46.421s.

Pengurus pasukan, Wong De Vin ketika dihubungi Bernama berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian ketika ini, selain berharap skuad luncur ais negara terus mengekalkan momentum dalam misi menepati sasaran empat pingat emas yang disasarkan.

"Pastinya saya gembira sebab kita dapat pingat. Tetapi pencabar dari negara lain tidak macam sebelum ini, prestasi mereka semua dah meningkat. Namun apa pun ia tetap satu perkembangan baik untuk sukan ini,” katanya.

Sukan luncur ais sebelum ini meraih emas pertama menerusi olimpian negara, Julian Yee dalam acara luncur bebas individu, kategori senior lelaki.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu