Mangsa kebakaran Kampung Titingan diingatkan tidak boleh bina semula rumah di kawasan sama [ 10m ago ]

Hafizh Syahrin sertai perlumbaan Tour de Selangor 2019

Tarikh kemaskini: 04/12/2019
Hafizh Syahrin Abdullah
KLANG, 3 Dis -- Pelumba MotoGP pertama negara Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan penyertaannya pada Kejohanan Berbasikal Antarabangsa ‘Tour De Selangor 2019’ (TDS2019) yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 22 Dis ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad berkata Hafizh Syahrin akan menyertai pasukan Amskins Racing yang turut dianggotai pelumba pecut negara, Anuar Manan.

“Kita memang ada elemen kejutan pada kejohanan edisi kedua kali ini yang mana Hafizh Syahrin akan turut serta sebagai pelumba. Pastinya ia akan menjadi cabaran dan sukan baharu kepada beliau sendiri tetapi mungkin sesuatu yang luar biasa kepada peminat berbasikal di Malaysia.

“Kita akan lihat bagaimana seorang atlet yang sudah biasa dengan kelajuan 200 hingga 300 kilometer sejam beralih kepada 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya pada sidang media TDS2019, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) Mohamad Razif Abdul Wahab dan Pengarah TDS, Noraidiazhar Sulaiman.

Adi Faizal berkata kejohanan itu juga dilihat akan menjadi tarikan utama kepada pasukan yang bertanding terutamanya kepada pasukan antarabangsa.

Sementara itu, Mohamad Razif berkata untuk kejohanan tersebut, Central Spectrum akan menjadi penaja bagi jersi Raja Bukit sepanjang lima peringkat perlumbaan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mengambil keputusan menaja TDS tahun ini sebagai sokongan penuh kepada kerajaan Selangor yang berusaha menjayakan acara besar sedemikian sehingga mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Saya juga berbesar hati kerana Selangor Bio Bay Show Gallery dipilih sebagai lokasi permulaan perlumbaan. Dengan penglibatan Central Spectrum dalam acara seperti ini, ia dilihat dapat mempromosi lokasi di sini yang berpotensi untuk menarik pelaburan hartanah pada peringkat antarabangsa," katanya.

Kejohanan pada tahun ini membabitkan seluruh negeri Selangor merangkumi lima peringkat perlumbaan sejauh 716 kilometer yang bermula di Pulau Indah dan berakhir di Shah Alam.



JADUAL PERLUMBAAN TDS2019:

18 Dis: Peringkat 1 - Pulau Indah- Batang Kali (182.3km)

19 Dis: Peringkat 2 - Sungai Buloh-Kajang (160.5km)

20 Dis: Peringkat 3 - Cyberjaya-Bukit Jugra (90.5km)

21 Dis: Peringkat 4 - Selayang-Sungai Besar (142.2km)

22 Dis: Peringkat 5 - Bukit Raja-Shah Alam (111.9km).



-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu