Mangsa kebakaran Kampung Titingan diingatkan tidak boleh bina semula rumah di kawasan sama [ 42m ago ]

Timmy pastikan gelaran juara lelaki boling kekal di tangan Malaysia

Tarikh kemaskini: 04/12/2019
Timmy Tan
MANILA, 3 Dis -- Pemain boling negara Timmy Tan menampilkan aksi cemerlang di Coronado Lanes di Starmall EDS, di sini untuk memenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan SEA ke-30 hari ini.

Pemain berumur 25 tahun mengungguli pertandingan dengan membuat 1,334 jatuhan pin untuk menewaskan pemain Thailand Annop Arromsaranom dengan kelebihan tiga pin, manakala pemain Singapura Cheah Ray Han memenangi pingat gangsa dengan 1,316 jatuhan pin.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mempertahankan acara perseorangan lelaki Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut selepas kejayaan Muhammad Rafiq Ismail pada 2015 di Singapura dan 2017 Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Saya tiba di gelanggang dengan penuh semangat, dengan perasaan saya akan memenangi sesuatu hari ini. Saya bermula dengan baik, tapi ada beberapa persembahan buruk di hujungnya, kerana ada masalah berkaitan lorong itu,” katanya.

“Saya berbincang dengan jurulatih, mereka kata ‘sabar’ kerana semua pemain memang bergelut dengan masalah lorong dan tidak dapat membuat jumlah jatuhan pin yang baik. Saya dedikasikan pingat ini kemada semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

Terdahulu dalam perseorangan wanita, Malaysia gagal ke saingan podium selepas pemenang pingat perak edisi lepas, Sin Li Jane menduduki tempat keempat dengan 1,250 jatuhan pin, diikuti Esther Cheah (1,229), Shalin Zulkifli (1,229) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (1,207) masing-masing di tempat keenam, ketujuh dan kesembilan.

Untuk acara berpasangan esok, pengurus pasukan Maradona Chok mengesahkan kombinasi Li Jane/Esther dan Siti Safiyah/Shalin untuk berpasangan wanita, manakala pasangan lelaki Tun Hakim Tun Hasnul Azam akan digandingkan dengan Rafiq, dan Timmy akan berpasangan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu