80 sertai Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 [ 5m ago ]

Firdaus optimis Malaysia mampu tambah emas Chess Sukan SEA

Tarikh kemaskini: 04/12/2019
Yeoh Li Tian
SUBIC (Filipina), 3 Dis -- Pengurus skuad catur negara, Firdaus Ismail optimis Malaysia mampu menambah kutipan pingat emas pada baki acara catur Sukan SEA ke-30 di Filipina, susulan kejayaan cemerlang dilakar pemain muda, Yeoh Li Tian yang meraih emas dalam acara Rapid Chess Lelaki.

Yeoh, 20, yang berpangkalan di London, menghadiahkan emas pertama dari sukan catur selepas mengumpul mata tertinggi selepas berakhirnya sembilan pusingan acara berkenaan di Travelers Hotel, di sini.

Pada pusingan kesembilan hari ini, Yeoh sekadar mencatat keputusan seri 0.5 mata dengan wakil Vietnam, Nguyen Ngoc Truong Son, namun ia sudah memadai untuk beliau meraih pingat emas.

"Mungkin sandaran pingat kita letakkan kepada Nur Najiha Azman Hisham dalam acara Blitz wanita kerana beliau pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Wanita dan Remaja Asia Timur 2017 di Tagaytay City, Filipina.

"Namun segala-galanya terpulang kepada faktor nasib dan semestinya kita mengharapkan kemenangan diraih Yeoh akan menyemarakkan semangat pemain catur negara yang lain untuk melakar keputusan sama," kata Firdaus kepada Bernama, di sini, hari ini.

Selain kategori Rapid dan Blitz, satu lagi kategori iaitu ASEAN turut dipertandingkan pada Sukan SEA 2019.

Untuk rekod, sukan catur pernah dipertandingkan pada edisi 2003 di Vietnam, 2005 (Filipina), 2011 (Indonesia) dan pada 2013 di Myanmar, sebelum membuat penampilan semula pada tahun ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu