Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 2h ago ]

Syarikat minyak Mexico umum penemuan deposit minyak mentah yang besar di Tabasco

Tarikh kemaskini: 07/12/2019
BANDAR MEXICO, 7 Dis -- Octavio Romero Oropeza, Ketua Eksekutif syarikat minyak negara Mexico iaitu Pemex pada Jumaat mengumumkan penemuan deposit minyak mentah besar-besaran di tenggara Tabasco dengan rizab minyak mentah disahkan bersamaan 500 juta tong, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

"Kami boleh mengesahkan kewujudan deposit besar yang bersamaan dengan 500 juta tong minyak mentah rizab 3P," kata Romero Oropeza.

Menurut beliau, kerja-kerja penggalian telaga minyak sudah bermula dan syarikat itu merancang untuk mengekstrak sehingga 69,000 tong sehari dari tapak itu tahun depan.

Menjelang 2021, Pemex merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyak di kawasan itu kepada 110,000 tong sehari.

Syarikat minyak Mexico itu telah mempergiat penggalian di negara tersebut susulan kemerosotan rizab dalam bidang yang sedang dibangunkan.

Output minyak Pemex berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hutang terkumpul syarikat itu adalah kira-kira US$100 bilion.

Sejak enam tahun lepas, pengeluaran merosot hampir 30 peratus, jatuh sebanyak tujuh peratus pada tahun lepas sahaja.

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador telah mengutamakan sokongan terhadap Pemex.

Draf bajet Mexico bagi 2020, yang disiarkan pada September, membabitkan peruntukan sebanyak US$4.3 bilion bagi tambahan modal Pemex selain langkah mengurangkan beban cukainya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu