Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 6h ago ]

UMK akan wujudkan industri dalam kampus

Tarikh kemaskini: 08/12/2019
Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail
KOTA BHARU, 8 Dis -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mewujudkan industri dalam kampus pada tahun hadapan bagi mendedahkan pelajarnya kepada dunia sebenar industri yang bakal diterokai mereka.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata mengikut perancangan pada peringkat awal, pihaknya akan memulakan industri di Kampus Jeli diikuti oleh Kampus Bachok dan juga Kampus Kota di sini.

“Idea untuk mewujudkan industri dalam kampus ini menunjukkan komitmen pihak universiti dalam mendukung keusahawanan berteraskan inovasi memandangkan UMK adalah universiti keusahawanan,” katanya pada sidang media di UMK Kampus Kota di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli.

Noor Azizi berkata melalui pencapaian inovasi dan penyelidikan yang dihasilkan oleh pelajar dan pensyarah, ianya sering kali mendapat pengiktirafan selain produk yang dihasilkan juga berkualiti tinggi.

“Jika kita lihat, pada tahun ini UMK telah memenangi sebanyak 30 pingat emas hasil menyertai pelbagai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa dan juga tempatan, berbanding pada tahun lepas hanya 17 pingat emas,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membantu untuk mentransformasikan produk inovasi dan penyelidikan yang dihasilkan menjadi produk yang boleh dikomersialkan.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti beberapa produk yang berpotensi untuk dikomersialkan dan akan cuba memasarkan produk berkenaan pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata kebolehpasaran graduan UMK pada tahun ini mencecah 80.87 peratus berbanding 73 peratus pada tahun lepas.

“Ini peningkatan yang sangat baik sekali gus menunjukkan bahawa graduan UMK semakin diterima oleh industri dan mereka setanding dengan graduan universiti lain.

“Malah, bilangan graduan yang menjadi usahawan pada tahun ini juga merekodkan 9.82 peratus sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi berbanding universiti awam lain. Ia juga selari dengan misi dan visi UMK untuk menjadi universiti keusahawanan nombor satu di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu