Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

Kongres Nasional PKR 2019 pamer kematangan demokrasi dalam parti

Tarikh kemaskini: 08/12/2019
Oleh Fadzli Ramli dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

MELAKA, 8 Dis -- Kongres Nasional PKR 2019 yang melabuhkan tirainya hari ini, memperlihatkan kematangan parti reformasi itu berpegang teguh kepada prinsip kebebasan bersuara dan demokrasi dalam parti, sekali gus meraikan keterbukaan dalam perbezaan pandangan setiap anggota.

Mengambil bait lagu rasmi parti, ‘membujur lalu, melintang patah’, kongres tahunan itu tetap berlangsung dengan jaya walaupun terpalit dengan insiden kekecohan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta tindakan luar jangka beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan sebahagian perwakilan meninggalkan dewan persidangan.

Suasana ‘panas dan tegang’ yang mewarnai perjalanan kongres empat hari di negeri bersejarah kepahlawanan Melayu itu, berakhir dengan barisan pemimpin dan perwakilan membawa pulang semangat baharu reformasi dalam segenap aspek termasuk sistem pentadbiran negara demi membela nasib rakyat.

“PKR mesti menjadi parti yang mengambil peluang memperjuangkan isu rakyat seperti mutu pendidikan, kesihatan, prasarana asas, isu pinjaman pendidikan dan pengangguran siswazah. Kita harus fikir untuk selesaikan semua ini jika kita mahu kekal dalam kerajaan dan tidak mahu parti kalah dalam pilihan raya,” tegas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan perwakilan dan penyokong parti pada hari terakhir kongres itu.

Ucapan dasar Presiden juga sarat dengan pelbagai mesej khususnya kritikan dan teguran terhadap semua anggota akar umbi hingga pucuk pimpinan supaya tidak menyimpang daripada perjuangan parti bagi membela nasib rakyat.

Dalam memperkukuh organisasi parti, pimpinan dan anggota bersetuju agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang dilihat terpesong daripada perjuangan parti, dan memikul tanggungjawab serta mandat diberikan dengan ikhlas.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan dengan lantang dan penuh ekspresi supaya setiap pemimpin serta anggota PKR tidak berbuai dengan kekuatan, kekayaan, pangkat dan jawatan setelah menjadi parti yang membentuk kerajaan.

Katanya rakyat memilih PKR pada pilihan raya umum lepas untuk membaiki negara dan bukannya untuk anggota parti bercakaran sesama sendiri.

Kongres tahunan parti berusia 20 tahun yang lahir daripada Pengisytiharan Permatang Pauh mengukuhkan lagi solidariti anggota walaupun masing-masing mempunyai pendapat berbeza dengan menjadikan pentas kongres sebagai ruang menzahirkan pandangan mereka.

Ia jelas apabila Naib Presiden PKR Tian Chua menyampaikan ucapan penggulungan, yang mempunyai intipati berbeza dengan pemimpin lain dan diterima baik oleh Presiden parti sendiri.

Meskipun kebanyakan pembahas kelihatan taksub mengampu pemimpin, Tian Chua menegaskan yang lebih penting bagi PKR, yang kini sudah memegang kuasa adalah perjuangan parti kerana pemimpin bersilih ganti.

PKR perlu memastikan kemampuan untuk menjadi parti pemerintah yang inklusif dan mampu memberi penyelesaian kepada masalah rakyat serta mengelak daripada menjadi parti yang hanya taksub menyokong pemimpin berkuasa, dan akhirnya melemahkan parti.

Isu peralihan kuasa yang mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan tidak sepatutnya menjadi perkara pokok perbahasan kerana ia telah dipersetujui dalam perundingan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mendokong prinsip kebebasan bersuara dan demokasi dalam parti itu, kongres PKR ini memberi mesej jelas bahawa semua pemimpin dan anggota PKR perlu menerima apa jua cabaran yang datang kesan daripada pendirian parti yang menghormati prinsip itu untuk bergerak ke hadapan dan bertindak bijak menangani konflik.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu