Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 2h ago ]

Saya tidak mahu memimpin parti yang anggotanya tidak berkualiti - Mohamed Azmin

Tarikh kemaskini: 08/12/2019
Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR, 8 Dis -- Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau tidak mahu memimpin sebuah parti yang anggota dan barisan kepimpinannya tidak berkualiti.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut berkata PKR bukan parti yang dibina untuk mengampu, sebaliknya mengutamakan agenda reformasi.

"Saya tidak mahu memimpin sebuah parti yang pemimpinnya tiada kualiti dan saya mahu jadi timbalan presiden parti di mana pemimpinnya ada akhlak.

"Kita bina parti ini bukan untuk mengampu. Kita melakukan reformasi dan kita mahu lahirkan pemimpin (berkualiti) dan bukannya pengampu," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bersama perwakilan Kongres Nasional, di sini, hari ini.

Di samping itu, Mohamed Azmin meluahkan kekesalannya mengenai sesi perbahasan Kongres Nasional PKR semalam yang tidak langsung menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Ahli parlimen bahas dan pembangkang bahas tapi ahli parti kita sendiri langsung tidak mahu sentuh seolah-olah kita tak buat apa-apa... Kerana apa? Kerana WKB2030 ini datangnya daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Itu sahaja," luahnya.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita, Mohamed Azmin berkata pengisian ucapannya tidak ´menyerang´ mana-mana peribadi tetapi sekadar menjelaskan kepada anggota parti bahawa beliau setia mempertahankan presiden parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan saya buat-buat...ini saya telah lakukan, setelah 20 tahun saya tetap mempertahankan presiden. Saya setia, cuma saya tidak mahu beliau dipengaruhi oleh orang yang tidak memahami soal sebenar reformasi," katanya.

Ditanya pemberita apakah nasihat beliau kepada penyokongnya yang mahu beliau menubuhkan parti baharu di bawah kepimpinannya, beliau menjawab: "Tidak timbul soal penubuhan parti baharu".

"Parti (PKR) ini kita bina bersama, rakyat yang bina parti ini selama 20 tahun dan kita akan kekal dalam parti ini, cuma apabila ada masalah kita harus berbincang untuk mencari jalan penyelesaian," jelasnya.

Beliau menyeru semua ahli PKR supaya mengetepikan segala masalah lalu dan bersama-sama mengorak maju ke hadapan sebagai parti yang lebih kuat di bawah kepimpinan presiden (PKR) yang ada sekarang.

"Saya mengajak supaya semua pimpinan dapat bersama-sama dalam usaha menyatupadukan parti...sekiranya ada usaha itu, saya bersedia untuk bersama-sama (berbincang dan berdamai)," tambahnya.

Lebih 3,000 orang menghadiri majlis makan malam itu yang terdiri daripada perwakilan Kongres Nasional, pemerhati dan ahli PKR dari seluruh negara.

Majlis itu juga dihadiri Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Ali Biju dan Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Angkatan Keadilan Muda (AMK) Muhammad Hilman Idham, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Amirudin Shaari dan R. Sivarasa.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu