Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

DPIM tandatangani memorandum perjanjian perkukuh latihan industri halal

Tarikh kemaskini: 09/12/2019
Mohammad Sahar Mat Din (Gambar fail)
Oleh Nurfardlina Izzati Mokhtar

PORT DICKSON, 9 Dis -- Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Gae Resources Sdn Bhd (GRSB) atau lebih dikenali sebagai Halal Academy, bagi mengukuhkan program pemantapan latihan industri halal dalam talian untuk usahawan.

Presiden DPIM Mohammad Sahar Mat Din berkata perjanjian itu juga mampu membantu usahawan industri desa, khususnya usahawan di bawah DPIM, berjaya mendapat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan seterusnya meningkatkan kualiti dan jaminan halal produk-produk yang diusahakan.

"Inisiatif ini merupakan sebahagian rangka pelan tindakan DPIM pada 2020 bagi memacu perubahan.

“Ia seiring dengan usaha pendigitilan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan, yang memperuntukkan belanjawan sebanyak RM10 juta untuk khidmat nasihat dan kesedaran pensijilan halal, pembangunan produk halal serta menyediakan platform untuk industri tempatan bersaing di pasaran halal antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam DPIM sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPIM ke-26.

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian itu disaksikan oleh Mohammad Sahar dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, yang turut merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DPIM itu.

Menurut Mohammad Sahar, Memorandum Perjanjian itu juga adalah usaha DPIM dalam agenda memperkasa ekonomi halal dengan menjadi pemudahcara bersama Halal Academy.

“JAKIM turut mempromosi dan mengalakkan usahawan Islam mendapatkan pensijilan halal JAKIM untuk premis dan produk mereka melalui platform latihan dan kesedaran pensijilan halal secara dalam," katanya.

Selain itu, DPIM cawangan Negeri Sembilan bakal mempelopori usaha sama DPIM dan Halal Academy ini dengan menyediakan 30 usahawan negeri yang disokong kerajaan negeri, untuk diperkasakan dalam memperoleh pensijilan halal melalui program Pembangunan Usahawan Halal Siri 1/2020.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata antara agenda perjuangan DPIM ialah jihad bisnes, wakaf korporat, ekonomi halal, ´Al Yaadul Ulya´ (tangan yang di atas), hubungan strategik serta misi antarabangsa.

"DPIM sudah melahirkan ramai pemimpin dan usahawan yang berkaliber dan berjaya dan kita yakin usaha jihad bisnes yang dilakukan secara kolektif akan berjaya dan diberkati Allah.

"Kalimah Islam yang terdapat dalam DPIM merupakan kalimah keramat yang merupakan sumber pembentukan nilai dan budaya dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan. Daya maju DPIM sangat ditentukan oleh keupayaannya menterjemahkan nilai-nilai ajaran Islam yang menjadi etos dan budaya keusahawanan," katanya.

Beliau juga mahu sejumlah ahli DPIM yang berperanan memastikan kerelevenan Islam sebagai kekuatan yang mampu memberi bimbingan menuju matlamat kejayaan duniawi-ukhrawi.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu