Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

SAMB perlu selesai isu air dalam tempoh seminggu - Ketua Menteri

Tarikh kemaskini: 09/12/2019
MELAKA, 9 Dis -- Kerajaan Negeri Melaka mengarahkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyelesaikan segera masalah gangguan bekalan air di negeri ini dalam tempoh seminggu.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata penyelesaian isu ini perlu dilakukan segera kerana rakyat sudah tidak mahu mendengar alasan dan mereka tidak seharusnya dibebankan lagi dengan masalah itu.

“Berhubung dengan isu air, untuk makluman semua saya telah mengarahkan SAMB untuk menyelesaikan isu air ini dalam tempoh satu minggu.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan dikemukakan sebab itu saya mengarahkan SAMB supaya segera menyelesaikan isu air ini dalam tempoh seminggu,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook di sini hari ini.

Khamis lepas, SAMB menerusi kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan sebanyak 44 kawasan di tiga daerah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air berikutan purata hujan yang rendah di hulu Sungai Melaka sejak kebelakangan ini.

Syarikat pengurusan air negeri itu menjelaskan situasi berkenaan mengakibatkan paras air di kolam tadahan serta Sungai Melaka berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Kawasan terjejas bagi daerah Melaka Tengah ialah Lorong Pandan, Kesidang, Kampung Lapan, Kota Laksamana, Semabok, Bachang, Batu Berendam, Taman Sayang Selasih, Limbongan, Klebang Besar, Ujong Pasir (dijangka), Kandang, Padang Temu, Bukit Godek, Taman Seri Duyong, Taman Sri Duyong Seksyen 1, 2 dan 3, Taman Desa Duyong, Permatang Pasir, Bukit Lintang dan Alai.

Daerah Jasin melibatkan Kampung Jus, Selandar, Kampung Bukit Senggeh, Felda Bukit Komeng, Felda Sri Kemendor, Felda Air Kangkung, Taman Sri Kemendor, Kampung Sri Kesang, Jalan Selandar Permai, Taman Jus Perdana, Taman Selandar Indah, Taman Pelangi, Taman Sri Selandar, Taman Selandar Murni, Kampung Baru Selandar, Taman Bukit Senggeh, Institut Latihan Perindustrian Selandar dan Kolej Komuniti.

Bagi daerah Alor Gajah pula ialah Bukit Bulat, Menggong, Melaka Pindah, Machap Umboo, Pengkalan dan Hutan Percha.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu