Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

Malaysia raih skor tinggi dalam indeks pembangunan manusia - UNDP

Tarikh kemaskini: 10/12/2019
KUALA LUMPUR, 10 Dis -- Malaysia meraih skor 0.804 dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2018 Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) berbanding 0.802 tahun lepas, meletakkan negara dalam kategori Pembangunan Manusia Sangat Tinggi, atau di kedudukan ke-61 daripada 189 negara.

Skor Malaysia meningkat terutamanya disebabkan oleh purata jangka hayat yang bertambah baik, pada 76.0 berbanding 75.8 pada 2017 dan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pada Pariti Kuasa Beli (PPP) US$ 27,227 berbanding PPP sebanyak US$26,555 pada 2017.

“Antara 1990 dan 2018, Malaysia mencatatkan kemajuan kukuh dalam indeks pembangunan manusia daripada 0.644 kepada 0.804, peningkatan 24.9 peratus mencerminkan purata peningkatan tahunan 0.80 peratus,” kata UNDP dalam Laporan Pembangunan Manusia (HDR) 2019 bertajuk ‘Beyond Income, Beyond Averages, Beyond Today: Inequalities in Human Development in the 21st Century’ yang dikeluarkan, hari ini, di Bogota, Colombia.

Antara lainnya, jangka hayat Malaysia ketika kelahiran meningkat sebanyak 5.1 tahun, bermakna tahun persekolahan meningkat sebanyak 3.6 tahun dan jangka persekolahan meningkat sebanyak 3.7 tahun. Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia meningkat kira-kira 167.6 peratus antara 1990 dan 2018.

Hanya dua negara ASEAN lain yang berada dalam kategori Pembangunan Manusia yang sama seperti Malaysia, iaitu Singapura dan Brunei. Lima negara utama dalam rangking HDI global adalah Norway (0.954), Switzerland (0.946), Ireland (0.942), Jerman (0.939) dan Hong Kong (0.939).

Menurut laporan itu, rantau Asia Pasifik menyaksikan peningkatan paling tinggi dalam pembangunan manusia di seluruh dunia.

“Rantau itu menerajui dunia dalam akses kepada internet jalur lebar dan semakin bertambah wilayah lebih maju dari segi jangka hayat, pendidikan dan akses kepada penjagaan kesihatan,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, rantau Asia Pasifik juga terus bergelut dengan jurang pendapatan yang semakin melebar dan ketidaksamaan dalam elemen-elemen utama pembangunan insan seperti kesihatan, pendidikan, maruah dan menghormati hak asasi manusia.

“Selain cabaran-cabaran ini, masyarakat juga semakin terdedah kepada bentuk baharu ketidaksamaan yang muncul daripada teknologi disruptif dan daya tahan iklim,” kata laporan itu.

Antara cadangan dalam laporan itu adalah era awal kanak-kanak dan pelaburan sepanjang hayat, produktiviti dan perbelanjaan awam serta pencukaian yang adil.

“Ketidaksamaan bermula malahan sebelum kelahiran dan diperkuatkan lagi daripada perbezaan dalam kesihatan dan pendidikan menuju ke peringkat dewasa. Justeru, dasar-dasar untuk menanganinya, juga perlu bermula pada atau sebelum kelahiran, termasuk melabur dalam pendidikan, kesihatan dan pemakanan kanak-kanak pada peringkat usia awal lagi,” kata laporan itu.

Dasar-dasar untuk meningkatkan produktiviti sahaja tidak mencukupi kerana kuasa pasaran majikan yang semakin meningkat dikaitkan dengan penurunan bahagian pendapatan bagi pekerja, yang mana dasar antipakat dan dasar lain adalah kunci bagi menangani ketidakseimbangan kuasa pasaran.

Menurut laporan itu, pencukaian tidak boleh dipertimbangkan sendirian, tetapi ia perlu menjadi sebahagian daripada sistem dasar, termasuk perbelanjaan awam bagi kesihatan, pendidikan dan alternatif kepada gaya hidup berintensifkan karbon.

Lebih-lebih lagi, dasar domestik dipengaruhi oleh perbincangan cukai korporat global, mengetengahkan kepentingan dasar baharu bagi pencukaian antarabangsa untuk membantu memastikan keadilan, mengelakkan persaingan sengit dalam kadar cukai korporat terutamanya ketika pendigitalan membawakan bentuk nilai baharu kepada ekonomi, dan mengesan dan menghalang pengelakan cukai.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu