EKONOMI

MALAYSIA AKAN TINGKATKAN PERDAGANGAN DENGAN KOREA SELATAN DALAM SEKTOR BERNILAI TINGGI

10/12/2019 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Korea Selatan dalam industri bernilai tinggi dan industri dipacu teknologi tinggi seperti pengangkutan, kenderaan elektrik, kereta api berkelajuan tinggi dan tren, halal, bahan kimia dan pembiayaan.

Sektor berpotensi ini dikenal pasti semasa penyertaannya pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea pada 2019 di Busan baru-baru ini, menurut agensi penggalakkan perdagangan negara itu.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Korea Selatan, Norharliza Yunos, berkata maklum balas yang diterima oleh syarikat Malaysia sangat menggalakkan dengan ramai warga Korea menyedari persekitaran properniagaan negara serta keupayaan syarikat Malaysia untuk membekalkan produk ke seluruh dunia.

"Melihat respon positif yang diberikan kepada Malaysia, MATRADE Seoul akan mengukuhkan pembabitan kami dengan perniagaan Korea Selatan dan memadankan mereka dengan syarikat Malaysia yang berkebolehan berdasarkan pangkalan data kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Korea Selatan yang merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada 2018, kini merupakan antara pasaran utama negara.

Norharliza berkata MATRADE merancang untuk mengundang perniagaan di republik itu untuk mengambil bahagian dalam pameran perdagangan ikoniknya, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2020, yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 1 hingga 4 April tahun depan.

Acara itu, yang juga pameran perdagangan halal terbesar di dunia, akan menjadi platform ideal bagi memperkenalkan perniagaan Korea Selatan kepada syarikat Malaysia dalam sektor bernilai tinggi tersebut, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan