Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

Polis Perak tumpas sindiket judi warga China

Tarikh kemaskini: 13/12/2019
Datuk Razarudin Husain (Gambar fail)
IPOH, 13 Dis -- Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga China selepas tertangkapnya 18 individu termasuk empat wanita.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 20-an ditahan dalam satu serbuan dekat sini, petang semalam.

Katanya dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 46 telefon bimbit, 16 komputer riba serta wang tunai berjumlah RM734.

"Berdasarkan laporan pakar penyiasatan, sindiket ini menjurus kepada perjudian dalam talian yang menyasarkan warga China. Mereka ini menggunakan bayaran melalui aplikasi WeChat dan telah bertapak di sini selama dua minggu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Ujian Kemahiran Menembak Polis Diraja Malaysia Sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. Turut Hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Razarudin berkata kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata pihak polis akan meneruskan tindakan bagi memastikan kegiatan perjudian haram termasuk dalam talian dapat dihapuskan di negeri ini.

"Saya telah tentukan agar setiap Ketua Polis Daerah perlu ambil inisiatif kumpul maklumat dan buat serbuan atas kegiatan seperti ini," katanya.

Pada Rabu, Jabatan Imigresen Malaysia negeri Perak berjaya menumpaskan aktiviti penipuan dalam talian juga melibatkan warga China dalam operasi di sini dan menahan seramai 65 orang termasuk empat wanita.

-- BERNAMA



TAG: polis, Perak, judi dalam talian, warga China





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu