Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 7h ago ]

Pound melonjak selepas Parti Konservatif dijangka raih majoriti dalam pilihan raya UK

Tarikh kemaskini: 13/12/2019
LONDON, 13 Dis-- Pound Britain melonjak pada Khamis malam selepas pemberian suara eksit menunjukkan bahawa Parti Konservatif berada di haluan yang betul untuk memenangi majoriti besar kerusi parlimen dalam pilihan raya umum negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Pound didagangkan pada 1.3513 berbanding dolar AS dan 1.2067 berbanding euro, masing-masing meningkat sebanyak 2.40 dan 1.77 peratus.

Keuntungan besar mata wang Britian itu berlaku sejurus keputusan pemberian suara eksit dikeluarkan oleh stesen penyiar utama Britain selepas beribu-ribu pusat mengundi di seluruh negara ditutup pada pukul 10 malam waktu tempatan.

Sentimen pasaran didorong oleh jangkaan bahawa dengan majoriti besar, pemimpin Parti Konservatif Boris Johnson akan dapat merealisasikan Brexit pada 31 Jan 2020 bagi menghentikan ketidakpastian yang melanda ekonomi sejak referendum Brexit pada 2016.

Berdasarkan temu bual di lebih 140 pusat pengundian, pemberian suara eksit meramalkan bahawa Parti Konservatif memperoleh 368 kerusi di Dewan Rakyat yang mempunyai 650 anggota manakala pembangkang utama iaitu Parti Buruh dijangka memperoleh 191 kerusi.

Pound telah mengekalkan aliran tidak menentu dan menurun sehingga Khamis petang, jatuh dari paras tertinggi pada 1.3223 sebelah pagi kepada 1.3127 sebelah petang berbanding dolar AS.

Pemerhati pasaran berkata prestasi pound boleh dikaitkan dengan kebimbangan sama ada Parti Konservatif akan meraih kemenangan majoriti.

Bob Mason, seorang penganalisis FX Empire, sebelum ini meramalkan bahawa kemenangan Parti Konservatif mungkin meletakkan pound pada tahap 1.35 berbanding dolar AS.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu