Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

FAS anjur Asia Challenge 2020, persiapan jadi kelab bola sepak unggul di Asia

Tarikh kemaskini: 14/12/2019
SHAH ALAM, 14 Dis -- Penganjuran kejohanan Asia Challenge 2020 bulan hadapan disifatkan sebagai ‘atur gerak’ pasukan Selangor dalam menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau berkata kejohanan yang julung kali diadakan di Stadium Shah Alam pada 18 dan 19 Jan itu melibatkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

“Kejohanan selama dua hari itu bertujuan untuk memberi ‘isyarat’ dan aspirasi bahawa kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Liga-M dan menjadi antara kelab bola sepak terunggul di Asia suatu hari nanti.

“Kita bawa pasukan terbaik dari negara jiran untuk bersaing di sini dengan kita. Untuk edisi pertama ini, kita anjurkan perlawanan dengan pasukan dari negara Asean. Selepas ini, mungkin negara Asia lain pula,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi kejohanan edisi Asean itu juga, skuad Merah Kuning akan menyusun strategi supaya dapat memperbaiki kelemahan pasukan demi mencapai hasrat untuk melayakkan diri bersaing di peringkat Asia pada tahun 2021.

Mengulas mengenai tahap keselamatan semasa kejohanan itu, beliau berkata FAS juga memberi jaminan keselamatan terbaik kepada penyokong yang hadir ke stadium hasil kerjasama erat dengan polis.

Katanya penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan tersebut menerusi laman web FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 bagi pemegang kad Red Giants dan RM30 bagi bukan pemegang kad manakala untuk kanak-kanak adalah RM5.

-- BERNAMA














       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu