Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 2h ago ]

Majikan diwajibkan daftar pekerja asing kepada Perkseo mulai 1 Jan 2020

Tarikh kemaskini: 16/12/2019
Datuk Mahfuz Omar (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan anak yatim sempena Majlis Sambutan Krismas Perkeso 2019 hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri).
KOTA KINABALU, 16 Dis -- Bermula 1 Jan depan, majikan di negara ini diwajibkan untuk mendaftarkan pekerja asing di bawah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing (SBKPA) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata bermula dari tarikh itu, pekerja asing wajib didaftarkan dengan Perkeso walaupun masih sah dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA).

“Setakat September lalu, seramai 1.01 juta pekerja asing telah berdaftar di seluruh Malaysia dan 78,952 daripadanya adalah pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso di Sabah.

“Jumlah pekerja asing yang telah mendaftar dengan Perkeso masih tidak sampai separuh daripada kira-kira 2.1 juta pekerja asing yang sah berdaftar dan bekerja di negara ini sehingga September lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Krismas Perkeso 2019, di sini, hari ini.

Beliau meminta agar semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya mematuhi peraturan berkenaan dan bertindak segera mendaftar dengan Perkeso.

Katanya skim berkenaan bukan saja bermanfaat untuk pekerja asing, malah turut membantu majikan dalam mengurangkan kos rawatan dan perubatan sekiranya pekerja asing terbabit ditimpa kemalangan semasa bekerja.

Sementara itu, Mahfuz berkata seramai 1,572 individu yang kehilangan pekerjaan di Sabah sebelum ini dapat kembali bekerja menerusi temuduga kekosongan jawatan bersempena Karnival Pekerjaan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) Perkeso di negeri ini pada 2 Nov lepas.

"Sepanjang tahun ini, lebih 20,000 kekosongan kerja dapat diisi menerusi karnival ini di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA







       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu