Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 5h ago ]

Nur Dinie Damia selamat dikebumikan di Pontian

Tarikh kemaskini: 14/01/2020
PONTIAN, 14 Jan -- Jenazah Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, dekat sini, pada pukul 10 pagi ini.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara serta penduduk setempat mengiringi jenazah kanak-kanak itu ke tanah perkuburan.

Nur Dinie Damia, tujuh tahun, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada pukul 10.48 malam tadi.

Jenazah dituntut keluarga di Jabatan Perubatan Forensik HSA kira-kira pukul 12.50 tengah malam tadi, sebelum dibawa pulang ke kampung datuknya itu.

Nur Dinie Damia sebelum ini mendapatkan rawatan di HSA semenjak 10 Jan selepas disyaki dijangkiti influenza, namun disahkan negatif daripada penyakit itu petang semalam.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika ditemui pemberita mengesahkan ujian pengesahan PCR (Polymerase Chain Reaction) pada pukul 4.45 petang semalam terhadap murid itu menunjukkannya negatif Influenza.

"Waktu Damia (Nur Dinie Damia) masuk ke sini (HSA), test Influenza dilakukan dan didapati negatif... jadi sekarang ini Damia didapati alami kegagalan buah pinggang dan hati.

“Bagaimanapun, pihak hospital sentiasa berusaha untuk menstabilkan semula keadaan adik Damia,” katanya selepas melawat kanak-kanak berkenaan di HSA, beberapa jam sebelum pemergian kanak-kanak itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu