Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 6h ago ]

Rezeki Mekanik Basikal Sambilan

Tarikh kemaskini: 15/01/2020
Bermula dengan minat berbasikal, Muhammad Muslim Mat Sulaiman kemudiannya belajar untuk menjadi mekanik basikal. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Shahrizan Jefri Aziz

SHAH ALAM (Bernama) -- Dalam keheningan malam, Muhammad Muslim Mat Sulaiman kelihatan begitu tekun membaiki bahagian engkol dan pendakap bawah basikal Cannondale Lefty milik pelanggannya di bengkel yang terletak di halaman rumah beliau di Puncak Alam di sini.

Beliau mula membuat kerja membaiki basikal pada awal 2017 selepas menceburi secara aktif sukan berbasikal pada 2015.

Muhammad Muslim, 36, yang bekerja sebagai seorang eksekutif pembelian di sebuah syarikat di Petaling Jaya melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal bukan kerana minat tetapi setelah menghadapi masalah kesihatan.

Setelah disahkan menghidap penyakit darah tinggi, beliau mula mencari jalan untuk memperbaiki tahap kesihatannya. Selepas melihat beberapa orang rakannya berkayuh basikal bukit, beliau tertarik untuk menyertai aktiviti tersebut.

Bermula dengan basikal pertamanya jenama XDS yang dibeli dengan harga RM2,500, Muhammad Muslim semakin bersemangat untuk meneruskan aktiviti berbasikal dan beliau amat bersyukur kerana tahap kesihatannya semakin baik.



MINAT BAIKI BASIKAL
Muhammad Muslim Mat Sulaiman membaiki basikal di bengkelnya sendiri di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selepas sekian lama berkayuh timbul pula minatnya untuk membaiki basikal sendiri berikutan masalah kedai basikal yang terletak agak jauh dari rumahnya.

"Pada mulanya saya hanya baiki basikal sendiri, tak berani nak baiki basikal orang lain takut rosak," katanya yang tidak mempunyai asas kemahiran sebagai mekanik basikal.

Beliau bagaimanapun terus berusaha mempelajari teknik membaiki basikal melalui media sosial selain dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman membaiki basikal.

"Ada antara rakan saya mengikuti kelas membaiki basikal secara formal dengan jenama besar seperti Shimano dan Sram, jadi segala buku, nota dan risalah yang mereka dapat saya buat salinan untuk rujukan.

"Masa yang diambil untuk mahir menguasai komponen basikal ini boleh dikatakan agak lama kerana setiap pengeluar basikal mempunyai sistem mekanikal yang berbeza. Apa yang penting memahami dan menguasai fungsi peralatan tersebut," katanya yang kini mahir membaiki basikal bukit dan basikal lumba.

Muhammad Muslim yang mula membuat kerja membaiki basikal sejak awal 2017 menyarankan kepada penunggang basikal supaya membuat senggaraan setelah tiga atau empat sesi berbasikal secara ekstrem atau berkayuh mengikut trail yang mencabar.



SENGGARA BASIKAL

Masalah jarang berlaku ketika berkayuh sekiranya basikal disenggara dengan baik dan penunggang akan berasa lebih seronok dan yakin untuk meneruskan kayuhan.

"Saya buka bengkel selepas waktu Isyak sehingga tengah malam dan adakalanya sehingga pukul tiga pagi setiap hari kecuali Khamis kerana saya pergi ke kelas mengaji Al Quran," katanya.

Antara masalah basikal yang dikendalikannya berkait dengan mekanikal seperti penukaran gear, brek dan bebola galas.

Beliau turut menasihati penunggang basikal supaya berkayuh dengan berhati-hati serta memakai peralatan keselamatan seperti topi keledar.

"Sokongan daripada rakan-rakan dan orang ramai amat penting bagi saya. Ia juga menguatkan semangat saya untuk mengejar impian untuk memiliki kedai basikal pada suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, pengayuh basikal bukit Shariem Aizul, 43, menjadikan Muhammad Muslim sebagai rujukan untuk menyelesaikan masalah dan pembelian peralatan untuk basikalnya.

"Muslim seorang mekanik yang sangat mudah didekati dan sangat mesra. Beliau seperti doktor, dapat mencari segala masalah yang ada dan dapat menyelesaikannya dengan cepat.

"Selain itu hasil kerja tangannya sangat baik dan berkualiti kerana setiap kali saya menghantar basikal untuk diselenggara, apabila siap ia seakan-akan basikal baharu, sangat bersih dan yang paling penting harga sangat berpatutan," katanya.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu