Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 7h ago ]

Iran sambut baik langkah "konstruktif" untuk selamatkan perjanjian nuklear

Tarikh kemaskini: 15/01/2020
TEHRAN, 15 Jan -- Jurucakap Kementerian Luar Iran Abbas Mousavi berkata negaranya mengalu-alukan sebarang langkah konstruktif yang bertujuan menyelamatkan perjanjian nuklear 2015, lapor agensi berita Xinhua.

"Sama seperti dulu, Iran bersedia sepenuhnya menerima apa jua langkah yang baik dan konstruktif untuk menyelamatkan perjanjian antarabangsa yang penting itu dan menyokong sebarang inisiatif dalam hal tersebut.

"Sementara itu, Iran menjelaskan kepada semua dan terutamanya kepada tiga negara Eropah sebarang pelanggaran perjanjian, niat jahat dan langkah-langkah tidak konstruktif perlu ditangani dengan sewajarnya," kata Mousavi.

Reaksi Mousavi berikutan langkah Britain, Perancis dan Jerman untuk memulakan mekanisma penyelesaian konflik perjanjian nuklear 2015 dengan Iran.

Negara berkenaan berkata tindakan itu diambil sebagai tindak balas kepada langkah Tehran menghentikan komitmen nuklearnya sejak beberapa bulan lalu.

Jurucakap Iran mengecam langkah itu yang disifatkan sebagai "pasif", dan mengatakan pihak Iran telah memulakan mekanisma penyelesaian pertikaian sejak setahun lalu, tetapi "tiada perkembangan baharu berlaku."

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu