Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 6h ago ]

Dua rakyat Malaysia ditahan dalam operasi narkotik di Singapura

Tarikh kemaskini: 15/01/2020
SINGAPURA, 15 Jan -- Dua rakyat Malaysia antara lima individu ditahan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dalam operasi awal pagi semalam (14 Jan).

CNB dalam satu kenyataan hari menyatakan dua suspek iaitu seorang lelaki berumur 26 tahun dan wanita berumur 24 tahun, ditahan di sekitar Jalan Geylang Bahru.

Dadah termasuk kira-kira 422 gram heroin ditemui di dalam beg galas milik suspek lelaki, katanya.

Menurut CNB, sebelum tangkapan itu dibuat, pihaknya telah menahan seorang lelaki berumur 72 tahun disyaki pengedar dadah yang dikatakan akan bertemu dengan suspek berumur 26 tahun berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Bendemeer.

Warga emas itu ditahan bersama kira-kira 845 gram heroin, 13 gram ‘ice’ dan wang tunai berjumlah S$5,350.

Berdasarkan siasatan susulan, pegawai CNB kemudian menahan seorang lelaki warga Singapura berumur 64 tahun di dek kosong di blok perumahan di sekitar Jurong East Street 21.

Lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek lelaki Malaysia berumur 26 tahun yang ditahan sebelum itu.

Wang tunai berjumlah S$2,200 turut ditemui pada suspek berumur 64 tahun terbabit, menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, pegawai CNB turut menahan wanita warga asing berumur 55 tahun di tempat persembunyian suspek berumur 72 tahun di sekitar Jalan Prome.

Pencarian di dalam bilik tidur di tempat itu menemukan 10 peket plastik mengandungi kira-kira 88 gram heroin dan pelbagai peralatan dadah.

Dadah yang dirampas dalam operasi ini bernilai kira-kira S$100,000 dan siasatan terhadap kegiatan dadah oleh kelima-lima suspek sedang dijalankan, menurut CNB.

-- BERNAMA












       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu