Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 6h ago ]

432 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Negeri Sembilan - exco

Tarikh kemaskini: 15/01/2020
SEREMBAN, 15 Jan -- Sebanyak 432 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun berjumlah RM103,600 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan kepada perokok yang melanggar larangan merokok di tempat makan dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan bermula 1 Jan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata daripada jumlah notis itu, 271 notis adalah bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1)(d) iaitu kesalahan merokok di tempat makan.

Sebanyak 89 notis pula dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab pemilik atau pengusaha tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok, pelanggaran peraturan 12(1)(b) iaitu tanggungjawab pemilik atau pengusaha premis memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam tempat makan (50 notis) dan kesalahan orang belum dewasa (bawah umur) yang merokok (22 notis).

"Berdasarkan pelanggaran terhadap peraturan yang dikesan sepanjang operasi penguatkuasaan, bolehlah disimpulkan bahawa masih terdapat perokok dan pemilik atau pengusaha tempat makan gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, 60 aduan diterima dalam tempoh 14 hari pertama penguatkuasaan daripada orang awam dan kesemuanya telah disiasat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata bagi kesalahan pertama, jumlah kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 jika perokok menjelaskan bayaran di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh notis kesalahan dikeluarkan.

“Bagi kesalahan kedua, nilai kompaun adalah RM250 dan tiada pengurangan kompaun diberikan dan, jumlah lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 dikenakan ke atas perokok bagi kesalahan ketiga dan seterusnya sehingga Jun depan.

“Malah, bermula Julai depan pula, tiada lagi tawaran kompaun sebaliknya tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar memberikan kerjasama dan mengelakkan membuat sebarang provokasi atau kekerasan terhadap pegawai kesihatan yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan atau boleh disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu