EKONOMI

MD SILMI ABD RAHMAN DILANTIK CEO BAHARU TERAJU

16/01/2020 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan pelantikan Md Silmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk tempoh dua  tahun.

Tarikh lantikan berkuat kuasa pada 1 Dis 2019.  

Mohamed Azmin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan tersebut dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata Md Silmi yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, ialah pakar pembangunan industri dan perdagangan di dalam dan luar negara.

"Beliau memiliki rekod pencapaian cemerlang dan meneroka peluang-peluang baharu dalam industri berteknologi tinggi selain dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera.

Beliau juga merupakan antara pasukan perintis bagi penubuhan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia - MATRADE (1993-2017) dan pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1989-1993) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (1983-1989)," menurut Mohamed Azmin.

Semalam, beliau mengumumkan pelantikan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengerusi TERAJU, juga untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Dis 2019.

Menurutnya Mustapa merupakan tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan. 

Mohamed Azmin berkata bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, beliau yakin Mustapa dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan