AM

Tragedi Pantai Teluk Bidara: Mayat empat pelajar politeknik ditemukan

19/01/2020 04:24 PM

DUNGUN, 19 Jan  -- Keempat-empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara di sini Jumaat lepas, ditemukan mati lemas hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Sharikan Bustaman berkata mayat terakhir iaitu Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, ditemukan terapung pada 3 petang oleh pasukan penyelamat, kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara.

 Mohamad Amir Izzudin yang berasal daripada Air Keroh, Melaka  adalah atlet silat olahraga negeri itu.

Sementara itu, mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan daripada Kuala Terengganu ditemukan pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed daripada Kuantan, Pahang pula ditemukan terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer daripada mayat Muhammad Ikhwan, katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki daripada Kemaman ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort, di sini pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata keempat-empat mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan