KUALA LUMPUR, 27 April -- Kerajaan memperuntukkan RM69.9 juta sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini dalam usaha berterusan memelihara kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu akan memanfaatkan 232,319 orang pekebun kecil dengan kadar RM600 seorang yang akan dibayar dua kali pada Disember 2021 dan Januari 2022.
"Prihatin dengan nasib pekebun kecil getah yang menjadi tulang belakang industri getah negara, kerajaan sekali lagi memperuntukkan BMT bagi bayaran 2021," katanya dalam ucapan di majlis Penyampaian Dividen (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) 2021 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata tahun lepas kerajaan memberikan BMT untuk pekebun kecil dan penoreh getah melibatkan peruntukan RM129.8 juta dan Bantuan Khas COVID-19 dengan peruntukan berjumlah RM64 juta.
Selain itu, beliau berkata dalam usaha untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah, pada tahun ini kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RISDA telah memperluaskan skop Bantuan Tanam Semula Getah.
Muhyiddin berkata pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain ditanam getah dan keluasan tanah yang melayakkan bantuan itu adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar.
"Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil malah kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan," katanya.
Di samping itu, beliau berkata bagi menyokong keperluan industri dan tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah skrap, kerajaan menyediakan satu skim yang dikenali Skim Insentif Lateks (SIL) yang melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM500 sehektar.
Perdana menteri berkata skim berkenaan diperkenalkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan skrap.
Sementara itu, bagi membantu industri sawit yang kekurangan tenaga kerja mahir akibat terkesan dengan pandemik COVID-19, kerajaan melalui FELCRA Berhad sejak September tahun lepas telah berusaha mewujudkan peluang pekerjaan sebagai Operator Penuaian kepada Modal Insan Tempatan di seluruh negara.
"Ia melibatkan komitmen 2,500 peluang merangkumi lapan Wilayah Pengurusan FELCRA iaitu Utara, Timur, Perak, Pahang, Tengah, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Buat masa ini, seramai 200 orang sudah pun menjalani latihan kemahiran yang diperlukan demi menjalankan tugasan sebagai Operator Penuaian dengan efisien dan efektif," katanya.
Beliau berkata peluang ini juga terbuka kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19 dan turut menyantuni mereka yang dipilih daripada program Orang yang Di Parol atau ODP.
"Ini adalah salah satu usaha untuk membantu mereka memulakan hidup baru dan mencapai kejayaan agar tidak terbelenggu dengan kisah silam mereka,"katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial