Oleh Norsyafawati Ab Wahab
KLANG, 30 Sept (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang terbukti terus menjadi pilihan kalangan usahawan serta pemborong sejak 2009 sebagai lokasi borong komprehensif yang turut membantu pengembangan perniagaan mereka walaupun dalam senario ekonomi mencabar.
Beberapa peniaga yang ditemui Bernama, mengakui GM Klang membantu mereka dalam usaha mengekalkan kelangsungan perniagaan masing-masing dengan kehadiran pelanggan, lokasinya yang strategik serta usaha promosi yang turut dijalankan oleh pusat borong tersebut.
Pemilik bersama kedai permainan kanak-kanak dan bayi, Toymate Oh Siew Wen berkata beliau telah menjalankan perniagaan di GM Klang sejak lapan tahun lepas dan mengusahakan tiga kedai di situ.
"Kami baru sahaja membuka kedai ketiga yang lebih besar serta tepat ketika ekonomi kembali pulih selepas pandemik COVID-19. Pengunjung juga semakin ramai bertumpu semula ke sini," katanya.
Menurutnya, ketika pandemik itu, ToyMate tetap beroperasi dengan menumpukan jualan secara dalam talian dalam memastikan kelangsungannya.
Malah, Oh berkata, ramai pengunjung yang memilih untuk hadir selepas pasca pandemik bagi mendapatkan permainan tersebut.
Peranan GM Klang itu turut diakui oleh peniaga barangan kemas, termasuk Ayden Gold Klang.
Pengarahnya Nur Alya Amni Nazaruddin berkata premis yang telah beroperasi selama lapan bulan dan setakat ini perniagaannya mencatat jualan memberangsangkan.
Menurutnya, ini turut didorong oleh usaha promosi pihak GM Klang melalui pelbagai platform.
"Ini cawangan kedua kami dan Ayden Gold memilih GM Klang kerana lokasi yang strategik serta sememangnya menjadi tumpuan orang ramai," katanya.
Menurut ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ayden Gold banyak membuat jualan secara dalam talian termasuk secara langsung di Facebook selain menyedari minat pelanggan yang lebih gemar melihat sendiri dan membelek aksesori itu.
"Walaupun di pusat borong, namun kehadiran pelanggan amat memberangsangkan. Ada pelanggan yang mengakui sekadar mencuci mata, tetapi sebaliknya membeli emas kami," katanya.
Selain menjadi tumpuan peniaga kecil, GM Klang yang mempunyai lebih 1,000 penyewa turut mengorak langkah dengan menyediakan ruang pameran khusus untuk pemborong tempatan mendapat produk secara terus daripada pengilang China.
Terletak di tingkat 5, Blok B ruang pameran itu dikendalikan oleh GM International Exhibition (M) Sdn Bhd yang menghimpunkan ratusan ribu produk permainan kanak-kanak serta keperluan bayi dari lebih 200 buah kilang di China.
Pengarah Pemasarannya T.C Oh berkata ruang berkenaan membantu peniaga tempatan mendapatkan stok barangan selain mengurangkan risiko ditipu oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan ke atas usahawan tempatan.
"Peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia boleh memilih sendiri produk yang dipamerkan oleh pengilang dan terus membuat tempahan kerana pihak kami yang menguruskannya," katanya.
Usaha itu semakin diperluas dengan kehadiran pengilang dari Indonesia tidak lama lagi.
Beliau turut menyifatkan pemilihan GM Klang sebagai lokasi ruang pameran berkenaan sebagai amat bersesuaian dengan konsep perniagaan yang ingin ditonjolkan oleh GM International Exhibition.
Ini ditambah pula dengan kelebihan dari segi lokasinya yang berdekatan dengan pelabuhan, sekali gus memudahkan transaksi perniagaan.
"Ruang pameran ini akan dibuka selama setahun. Peniaga dan pemborong yang berminat boleh mendapatkan barangan berkualiti antaranya produk dari bandar Ningbo di wilayah Zhejiang, China," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial