KLANG, 25 Okt (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang (GM Klang) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih, ‘Komuniti Bisnes GM Klang’ dalam usahanya menjadi penghubung antara pengguna dan pemborong mendapatkan barangan jualan selain menggalakkan lebih ramai anak muda berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata aplikasi tersebut mempunyai ciri khas iaitu pemadanan perniagaan, pengguna hanya perlu mengisi tarikh dan masa janji temu dan maklumat produk yang mahu diniagakan.
“Seterusnya, pihak GM Klang akan menghubungkan pengguna dengan dengan lebih 700 hingga 800 pemborong sedia ada dan bersesuaian dengan mereka bagi perbincangan perniagaan selanjutnya.
“Bukan itu sahaja, pengguna boleh menggunakan studio yang disediakan khas di pusat borong ini untuk tujuan promosi, pengiklanan mahupun sesi siaran langsung (live stream) barangan jualan mereka yang telah dibeli daripada pemborong di GM Klang,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini.
Ia dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.
Lim berkata kebanyakan pengguna dan pembeli sudah pun mengetahui bahawa GM Klang adalah tempat untuk menjana pendapatan tambahan bagaimanapun masih ramai yang tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
“Melalui aplikasi ini, kami menyediakan titik permulaan untuk mereka mengenal pasti pemborong atau produk yang tepat serta bersesuaian dengan mereka, aplikasi ini akan dipertingkatkan dengan pelbagai lagi fasiliti perniagaan lain dari semasa ke semasa.
“Selain itu, sebarang maklumat terkini mengenai Pusat Borong GM Klang akan disampaikan menerusi aplikasi tersebut termasuklah pembukaan kedai baharu, kempen promosi dan acara yang bakal berlangsung di pusat borong berkenaan,” katanya.
Sempena pelancaran aplikasi itu, seramai 1,000 pengguna pertama yang memuat turun aplikasi tersebut menerusi Google Play Store dan Apple AppStore berpeluang menebus baucar makanan dan minuman berjumlah RM5 dengan memasukkan kod promo, GMKAPPLAUNCH.
Semenentara itu, Rodziah mencadangkan supaya aplikasi tersebut dapat disambung serta diselarikan dengan Program Mikro Kredit Bersepadu (Skim Hijrah) anjuran kerajaan Selangor pada masa hadapan bagi memudahkan usahawan di negeri itu membuat pinjaman dari skim tersebut, seterusnya membeli barangan di GM Klang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial