EKONOMI

TRIP.COM RAIH PERTUMBUHAN TIDAK DIJANGKA BAGI TEMPAHAN PERJALANAN SEMPENA HARI RAYA

18/04/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Platform pelancongan dalam talian Trip.com mencatat pertumbuhan tidak dijangkakan untuk tempahan perjalanan di seluruh Malaysia ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, dengan Kuala Lumpur meraih peningkatan luar biasa sebanyak 113 peratus tahun ke tahun bagi jumlah tempahan untuk semua produk pelancongan.

Menurutnya berdasarkan data daripada 9-13 April 2024, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mengalami pertumbuhan ketara, dengan jumlah tempahan meningkat, masing-masing sebanyak 62 peratus dan 89 peratus tahun ke tahun.

“Terutamanya tempahan penerbangan domestik ke Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan besar iaitu 99 peratus berbanding pada Hari Raya tahun lepas.

“Malah, terdapat lonjakan 131 peratus bagi tempahan penerbangan domestik ke Pulau Pinang manakala Kota Kinabalu meningkat 81 peratus,” kata Trip.com dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kesalinghubungan antarabangsa turut menyaksikan pertumbuhan ketara, dengan peningkatan 94 peratus bagi penerbangan ke Malaysia dari Singapura.

Katanya kenaikan luar biasa turut berlaku bagi tempahan penerbangan dari Indonesia ke Malaysia, yang menyaksikan peningkatan 33 kali ganda, menandakan minat yang semakin bertambah bagi perjalanan rentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, Trip.com berkata tempahan hotel domestiknya untuk Kuala Lumpur meningkat  57 peratus, Pulau Pinang menokok 24 peratus, manakala Kota Kinabalu naik 62 peratus.

“Tempahan hotel antarabangsa di Malaysia dari Singapura meningkat 69 peratus, dan tempahan hotel dari Indonesia menambah 316 peratus,” katanya.

Dari segi jualan, nilai dagangan kasar (GMV) Kuala Lumpur meningkat 117 peratus, mengukuhkan kedudukannya sebagai penjana hasil utama dalam sektor pelancongan, manakala Pulau Pinang mencatat pertumbuhan ketara sebanyak 78 peratus, dan Kota Kinabalu menokok 162 peratus .

“Secara keseluruhannya, Malaysia menyaksikan lonjakan luar biasa sebanyak 97 peratus bagi GMV, memperlihatkan kejayaan kolektif industri pelancongan di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan