AM

ASTRO STUDIOS BANTU LONJAK INDUSTRI KREATIF NEGARA - KPE KUMPULAN

18/04/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Astro Malaysia Holdings Bhd menjangkakan pelancaran Astro Studios akan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama kandungan dalam negara sekali gus melonjakkan lagi industri kreatif negara ke aras yang lebih tinggi.

Astro dalam kenyataan memaklumkan rangkaian perkhidmatan produksi penyiaran, pascaproduksi, dan reka bentuk visual bertaraf dunia itu menawarkan rangkaian perkhidmatan bersepadu kepada para pencerita, penerbit, dan pengarah.

Antara khidmat yang ditawarkan termasuklah teknologi terkini seperti produksi maya XR (Extended Reality) yang dikuasakan dengan Unreal Engine, penyelesaian video IP inovatif untuk produksi penyiaran jarak jauh yang berkualiti tinggi dan khidmat pasca-produksi audio-visual bagi keperluan pawagam, penyiaran, dan penstriman yang dibikin dalam format Dolby Vision dan Dolby Atmos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Euan Smith berkata pelancaran itu juga merupakan kesinambungan reputasi syarikat tersebut sebagai peneraju dalam teknologi penyiaran dan produksi yang telah mengecapi pelbagai pencapaian penting buat negara. 

“Justeru, pelancaran Astro Studios sebagai sebuah enjin pemacu untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi utama produksi kandungan di negara dan juga sebagai hab kandungan berkualiti tinggi di rantau ini merupakan satu langkah yang lazim buat kami.

“Sarat dengan bakat-bakat luar biasa dalam komuniti pelbagai kaum yang didukung oleh teknologi bertaraf dunia, saya yakin Malaysia mampu menjadi sebuah sensasi dalam penghasilan kandungan. Lantaran itu, Astro Studios adalah pendorong utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi industri kreatif negara,” katanya.

Smith berkata menerusi platform itu pencipta kandungan tempatan dan antarabangsa berpeluang memanfaatkan rangkaian perkhidmatan yang sama seperti yang dinikmati oleh pasukan dalaman Astro.

“Kami percaya tawaran ini sangat menarik serta mampu memberikan mereka akses kepada pasukan yang inovatif dan sebuah 'One-stop-shop' yang moden pada kadar yang menarik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan