JENAYAH & MAHKAMAH

BOMBA SELAMATKAN KANAK-KANAK TERPERANGKAP DALAM KERETA

18/04/2024 08:28 PM

MELAKA, 18 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kereta ibunya di Taman Lagenda, Melaka di sini hari ini.

Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I (KUP) Mohamad Ismail Harun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada 2.56 petang dan sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Bomba tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu kereta jenis Honda Civic FD menggunakan peralatan khas dan mendapati kanak-kanak itu sedang tidur selain enjin kenderaan dalam keadaan hidup.

"Dipercayai kanak-kanak itu telah terkunci selama 20 minit selepas ibunya ke kedai berdekatan manakala orang awam yang berada di situ turut membantu namun gagal membuka pintu kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Ismail berkata ketika dikeluarkan dari kereta itu mangsa dalam keadaan sihat dan stabil sebelum diserahkan kepada ibunya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan