AM

17,429 INDIVIDU BEKERJA SENDIRI DI PERAK CARUM SKSPS

19/04/2024 06:16 PM

IPOH, 19 April (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak menggesa lebih ramai pekerja di negeri ini yang bekerja sendiri mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). 

Pengarah Perkeso Perak V. Mohanadas berkata sehingga kini, terdapat kira-kira 17,429 orang di negeri ini yang mencarum di bawah SKSPS dan berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

"Pada tahun lepas, kita sasarkan 14,000 pencarum, namun kita berjaya daftarkan 16,600 termasuk daripada kalangan petani, nelayan, peniaga dan penjaja, dan sehingga Mac tahun ini 829 orang sudah mendaftar. 

"Kerajaan Persekutuan sudah membuka ruang kepada golongan bekerja sendiri untuk mencarum dengan Perkeso sebagai langkah keselamatan bagi diri sendiri dan keluarga, malah lebih terjamin ketika keluar bekerja sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama bersempena dengan majlis Hari Raya Aidilfitri Perkeso Perak 2024 di Wisma Perkeso dekat sini. 

Mohanadas berkata Perkeso Perak juga turut memperkasakan kempen menggalakkan suri rumah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

"Sepanjang tahun lepas kita berjaya mencarum 12,630 suri rumah dan pada tahun ini kita sasarkan 7,251 bagi pendaftaran baharu, manakala 2,788 bagi suri rumah memperbaharui caruman. 

"Suri rumah boleh mencarum dengan hanya membayar RM120, waris pencarum akan mendapat pencen penakat RM300 sebulan dan bayaran faedah pengurusan mayat RM2,000," katanya. 

Beliau berkata pendaftaran untuk mendapatkan skim berkenaan amat mudah kerana suri rumah tidak perlu mengemukakan apa-apa dokumen bagi membuktikan mereka tidak bekerja langsung.

"Tiada umur minimum untuk mendaftar SKSSR. Cuma had maksimum bagi mendaftar skim ini ialah 55 tahun dan mereka berumur 18 tahun ke atas.

"Selain itu, mana-mana suri rumah yang berdaftar di bawah eKasih, mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan jangan lepaskan peluang mendaftar sebagai pencarum," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan