Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Berita POLITIK


PRK Tanjung Piai: Presiden MCA 'kunci mulut'

Tarikh kemaskini: 27/09/2019
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong enggan mengulas sama ada parti itu akan mengekalkan tradisi dengan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Menurutnya, segala keputusan berhubung calon akan diumumkan secara kolektif di peringkat pusat parti Barisan Nasional (BN).

“Yang penting kita kena bersedia dari sekarang. Semua parti akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan. Itu adalah maklumat awal yang boleh saya berikan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Wee berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan bagaimana cara untuk memastikan kemenangan BN di kerusi itu.

Ketika ditanya media sama ada MCA menyatakan hasrat kepada Ahmad Zahid untuk meletakkan calonnya, beliau berkata: “Apa pendapat anda Itu soalan tak payah tanyalah,” katanya.

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Mh Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Hospital Pontian, Johor, pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Dalam pada itu Wee mengumumkan bekas Ketua Pemuda, Datuk Chong Sin Woon dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu menggantikan Datin Chew Mei Fun yang telah meletakkan jawatan untuk menyambung pengajian di China berkuat kuasa 13 Julai lalu.

Beliau berkata Chong dipertanggungjawabkan turun ke kawasan Parlimen Tanjung Piai untuk merancang, membuat persediaan awal dan menggerakkan jentera bagi PRK itu.

MCA memegang kerusi Parlimen tersebut sejak PRU-11 hingga ke-13 sebelum tewas pada PRU-14.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu