Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Berita POLITIK


Pembangunan kawasan Tanjung Piai akan diteruskan - MB Johor

Tarikh kemaskini: 29/09/2019
PONTIAN, 29 Sept -- Pembangunan di kawasan Parlimen Tanjung Piai, dekat sini, akan terus dilaksanakan meskipun selepas kepergian anggota parlimennya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kerajaan negeri akan memastikan semua projek yang dirancangkan oleh Allahyarham terutama 17 projek melibatkan peruntukan kerajaan persekutuan, diteruskan.

Menurut Dr Sahruddin, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang lepas, beliau bersyukur banyak pembangunan yang Allahyarham sudah buat di kawasan Pontian.

“Yang terawal ialah beliau menaiktaraf pasar di Pekan Nanas dan beberapa projek yang beliau telah jalankan. Arwah juga telah memohon peruntukan sebanyak RM14.75 juta (peruntukan untuk 17 projek) dan baru sahaja diluluskan pada bulan lepas,” kata beliau kepada pemberita selepas lawatan kerja ke daerah ini, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pemimpin bersama masyarakat di Pusat Informasi Pelancongan Daerah Pontian, di sini, petang ini.

Menyifatkan Dr Md Farid sebagai pemimpin yang hebat, Dr Sahruddin berkata walaupun baru setahun lebih menjadi wakil rakyat, beliau telah berjaya membawa pembangunan, menurunkan peruntukan yang besar untuk kawasan Tanjung Piai.

Antara 17 projek pembangunan yang dimaksudkan termasuk pembinaan dewan, padang sekolah serta kemudahan lain yang bakal memanfaatkan masyarakat Tanjung Piai.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerusi Parlimen masih milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau mengesahkan ia masih milik Bersatu setakat ini.

“Setakat yang saya tahu, In-sya-Allah, calon memang dari parti Bersatu. Kita tunggu pengumuman daripada Majlis Tertinggi Bersatu dan Pakatan Harapan,” kata beliau.

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian Dr Md Farid pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, mengenai lawatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini pagi tadi, beliau berkata terminal itu dijangka mula beroperasi semula selewatnya 1 Nov ini.

“Kita akan cuba menyegerakan operasi di terminal itu. Kita sasarkan pada 15 Okt sehingga 1 Nov dah boleh mula beroperasi,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai sama ada ada pihak yang berminat untuk menguruskan konsesi terminal itu, beliau berkata: “Sementara masih di bawah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ). Kita akan lihat sama ada perlu konsesi ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk ambil alih.”

Terminal berkenaan diarahkan tutup 1 Sept berikutan keputusan kerajaan negeri mengambil alih pengendaliannya menerusi PAJ bagi menggantikan syarikat konsesi terdahulu yang sudah ditamatkan operasi.

Operasi feri di terminal berkenaan buat sementara waktu dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

-- BERNAMA







       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu