MIDF kekal saranan 'neutral' ke atas MISC, pertumbuhan akan dipacu oleh segmen LNG [ 11m ago ]

Berita POLITIK


Calon tempatan pilihan BN utk PRK Tanjung Piai

Tarikh kemaskini: 30/09/2019
File pic Bernama
JOHOR BAHRU, 30 Sept -- Barisan Nasional (BN) Johor telah membuat ketetapan bahawa calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah orang tempatan.

Pengerusi BN negeri Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mengesahkan perkara itu berkata, ketetapan itu telah pun dimaklumkan kepada parti komponen BN termasuk UMNO.

“Saya boleh sahkan bahawa kita akan mempunyai calon tempatan. Calon luar, Badan Perhubungan (UMNO) pun tidak setuju. Ianya harus calon tempatan,” kata beliau kepada pemberita sejurus tamat mesyuarat khas badan perhubungan UMNO negeri di sini, hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno itu berkata demikian ketika disoal mengenai kriteria calon yang telah ditetapkan untuk bertanding di kerusi terbabit.

Jawapan Hasni itu menolak spekulasi kononnya BN akan meletak calon luar untuk PRK itu.

Terdahulu, Hasni memaklumkan bahawa mesyuarat hari ini belum memutuskan calon BN dari parti mana yang akan bertanding.

“Kita (BN) tidak perlu putuskan siapa calonnya hari ini kerana yang penting ialah mempersiapkan jentera tidak kira Wanita, Pemuda, Puteri ataupun rakan-rakan komponen seperti MCA dan MIC untuk menghadapi PRK.

“Kita merasakan peluang untuk menang adalah amat cerah, tetapi kita harus meneliti semua aspek, melihat keadaan semasa dan membuat beberapa pertimbangan,” katanya.

Ditanya bila nama calon akan diumumkan, Hasni berkata hanya masa akan menentukan.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata mesyuarat hari ini juga sebulat suara mencalonkan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Setiausaha Agung Umno yang baharu.

“Ini (cadangan) akan dibawa (dibangkitkan) dalam Konvensyen Umno Johor Bahru pada 5 Oktober untuk diendorse. Bagaimanapun keputusan muktamad terletak pada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu