Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 8m ago ]

Berita POLITIK


Menggalas tugas besar yang ditinggalkan MP Tanjung Piai

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
[EKSKLUSIF]

Oleh Nor Baizura Basri

PONTIAN, 1 Okt -- Apabila Datuk Dr Md Farid Md Rafik kembali ke Rahmatullah bulan lepas pada usia yang masih muda iaitu 42 tahun, Ahli Parlimen Tanjung Piai itu meninggalkan banyak tugas yang belum sempat diselesaikan.

Beliau menyusun pelbagai rancangan bagi pembangunan di kawasan Parlimen itu dan kesejahteraan para pengundi di bawah jagaannya, menurut beberapa orang yang rapat dengannya.

Dr Md Farid, seorang pakar anesthesia, meninggal dunia pada 21 Sept di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung, meninggalkan seorang isteri dan tiga anak perempuan.

Para pengundi di kawasan pilihan raya itu masih membicarakan tentang wakil rakyat mereka yang bersopan santun dan rancangan yang disusunnya bagi Tanjung Piai, kata seorang sahabat karibnya, Mohd Rusly Abas.

Membantu orang ramai merupakan sifat semula jadi Allahyarham, kata Mohd Rusly, rakan sekelas Dr Md Farid, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mereka sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Seri Kukup.

Mohd Rusly berkata satu daripada minat utama Dr Md Farid adalah untuk mewujudkan sektor Rukun Tetangga di kawasan Parlimen itu.

“Beliau merasakan penubuhan sektor Rukun Tetangga di kampung penting supaya penduduk kampung boleh berdikari dalam memastikan keselamatan di persekitaran tempat tinggal mereka.

“Buat kali pertama, di bawah bimbingan beliau, kami menubuhkan sektor Rukun Tetangga dalam mukim ini terdiri daripada empat buah kampung iaitu Kampung Tanjung Piai, Kampung Serkat, Kampung Sungai Kuali dan Kampung Perpat.

“Sektor Rukun Tetangga ini akan menjadi model bagi kampung lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini di jeti nelayan Tanjung Piai.

Mohd Rusly berkata pada 1 pagi 21 Sept lepas, beliau bertemu Dr Md Farid untuk membincangkan beberapa projek yang dirancang bagi mukim berkenaan. Malangnya, Ahli Parlimen itu meninggal dunia pada 6 pagi, hari berkenaan.

Ahli majlis Daerah Pontian Ghazaley Ayub berkata antara perkara pertama yang dibincangkan Dr Md Farid selepas memenangi kerusi parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 adalah pembangunan pelancongan di Tanjung Piai.

Kebetulan pula, Tanjung Piai popular kerana kedudukannya yang terletak di hujung paling selatan di benua Asia.

“Di seluruh dunia, masyarakat bercakap tentang Tanjung Piai sebagai penghujung tanah benua Asia. Sayangnya, kita tidak ada banyak produk pelancongan di Tanjung Piai. Kita tidak ada bentuk produk yang boleh menarik kunjungan pelancong ke tempat ini berulang kali,” katanya.

Dr Md Farid turut menggariskan beberapa projek utama untuk mempertingkatkan tahap ekonomi penduduk Tanjung Piai.

Ini termasuk pembangunan Pantai Rambah; mempertingkatkan tahap ekonomi penduduk setempat menerusi industri pelancongan; pembinaan jeti nelayan serta pembinaan trek berbasikal dari Pantai Rambah ke Kukup, kata Ghazaley, yang mempunyai pertalian saudara dengan Allahyarham.

“Saya difahamkan beliau telah memohon peruntukan RM3 juta untuk pembinaan jeti nelayan. Saya tidak pasti sama ada permohonan beliau diluluskan. Apa yang saya boleh katakan secara pasti adalah pembangunan di Pantai Rambah telah diluluskan,” katanya.

Ghazaley berkata Dr Md Farid merupakan seorang yang gemar berbasikal dan telah memohon untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan sebuah trek berbasikal dari Pantai Rambah ke Kukup dan pembinaan itu sepatutnya dimulakan bersekali dengan projek menaik taraf Pantai Rambah.

Beliau berkata pembangunan yang dirancang itu sejajar dengan pembangunan pesat di kawasan itu yang akan dipacu oleh pembangunan sekitar Linkedua yang menghubungkan Singapura-Gelang Patah-Serkat dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

“Ini akan membawa kesan ekonomi yang sangat besar. Saya berbincang dengan beliau tentang perkara ini dan menyerahkan kepadanya kertas kerja. Pembangunan ini adalah rancangan beliau bagi Tanjung Piai,” katanya.

Dalam lawatannya ke Pontian baru-baru ini, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan pada Ogos lepas peruntukan RM14.75 juta bagi 17 projek di kawasan pilihan raya itu.

Jarak masa dari PRU14 sehingga sekarang agak pendek namun begitu banyak pertimbangan, pelaksanaan dan perancangan hebat yang dicetuskan oleh Dr Md Farid.

Ahli Parlimen pengganti beliau perlu menggalas tugas yang sangat besar untuk meneruskan legasi Dr Md Farid, seorang pakar anesthesia di sebuah hospital swasta di Melaka, sebelum menceburi bidang politik.

Dr Md Farid memenangi kerusi Tanjung Piai dalam PRU14 atas tiket Pakatan Harapan-Bersatu, mengalahkan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Barisan Nasional-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya kecil Tanjong Piai akan diadakan pada 16 Nov. Penamaan calon pula pada 2 Nov, manakala pengundian awal pada 12 Nov.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu