SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 36m ago ]

Berita POLITIK


PRK Tanjung Piai : PAS harap calon Melayu

Tarikh kemaskini: 08/10/2019
JOHOR BAHRU, 8 Okt -- PAS Johor mengharapkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, November ini, dipilih dalam kalangan rakyat tempatan yang mempunyai rekod bersih.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata pandangan itu disampaikan oleh PAS negeri dalam pertemuan bersama UMNO Johor yang diketuai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Ir. Hasni Mohammad baru-baru ini.

“Saranan kita (PAS) mengenai calon yang akan bertanding, seeloknya hendaklah calon tempatan yang boleh diterima semua anggota masyarakat dan seboleh-bolehnya dalam kalangan Melayu Islam yang bersih dari isu–isu negatif.

“Kita mengharapkan biarlah calon Melayu Islam dicalonkan bukan kerana rasis atau sebagainya tetapi kerana mengikut keadaan sekarang, melihat realiti semasa dengan majoriti Melayu Islam di sana jadi kita rasa lebih baik kita pilih calon Melayu Islam dan kita sudah kemukakan hujah-hujah kita dan UMNO pun pandangan mereka hampir sama dengan kita,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Abdullah bagaimanapun berkata pihaknya tetap akan memberi sokongan dan akan bekerjasama walaupun keputusan yang akan ditetapkan mengenai calon yang akan mewakili pembangkang di PRK Tanjung Piai tidak seperti yang diutarakan.

“Walau apapun keputusan yang diputuskan, kita akur dan akan bekerjasama atas semangat Muafakat Nasional dan ia tidak tertakluk untuk Islam sahaja. MIC dan MCA pun boleh bernaung di bawah piagam ini kerana agenda lebih luas, kita tidak pinggirkan non-muslim,” katanya.

Abdullah turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak boleh berasa selesa walaupun ada teori mengatakan pembangkang boleh memenangi PRK Tanjung Piai kali ini.

“Kalau mengikut teori semasa Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan menang tipis dan PAS ketika itu mendapat undian lebih 2,000, jadi kiraan kasar sudah boleh menang kalau ikut undi BN dan PAS tetapi kita tidak boleh selesa dan terlalu yakin dengan anggapan itu.

“Walaupun PRK sebelum ini seperti di Rantau, Semenyih dan Cameron Highland dimenangi pembangkang seolah menunjukkan satu petunjuk yang positif kepada kita tetapi harus diingatkan jangan terlalu selesa kerana apa sahaja boleh terjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku tetapi apa yang penting kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Penyandang kerusi Tanjung Piai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dalam PRU -14 lepas, Dr Md Farid, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu