Wilmar antara cemerlang di peringkat global dalam perjuang hak kanak-kanak [ 4m ago ]

Berita POLITIK


Jalan baharu Pekan Nanas - Tanjung Piai pacu pertumbuhan kampung sekitar

Tarikh kemaskini: 15/10/2019
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun. (Gambar fail)
PONTIAN, 15 Okt -- Jalan baharu menyambungkan Pekan Nanas dan Tanjung Piai yang bakal siap tidak lama lagi, diharap dapat memacu pertumbuhan kampung-kampung sekitarnya sekaligus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jalan sepanjang 10 hingga 12 kilometer yang membabitkan kos sebanyak RM65 juta itu kini memasuki fasa kedua pembinaan.

“Pembinaan (jalan itu) kini mengikut jadual dan sudah selesai 90 peratus. Kita jangkakan ia akan siap sama ada hujung tahun atau awal tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran MPKK Parlimen Tanjung Piai, di Kukup Golf Resort, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan siapnya jalan tersebut, ia bukan sahaja mampu membangunkan ekonomi masyarakat setempat malah diharap dapat membangunkan modal insan.

“Kalau boleh, menjelang 2030, bila disebut luar bandar, kita tidak mahu dikaitkan lagi dengan kemiskinan,” tambah beliau.

Selain jalan, kementeriannya juga menerima 264 permohonan membina lampu jalan kampung di Tanjung Piai.

Beliau berkata pemasangan lampu jalan kampung itu yang akan dilakukan secara berperingkat, diharapkan dapat membantu masyarakat mengatasi masalah termasuk mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan kawasan yang tiada lampu jalan selain isu keselamatan kampung.

Di Johor, kementerian telah meluluskan pemasangan 6,625 lampu jalan di kawasan luar bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.2 juta, kata Rina.

Terdahulu, beliau menyampaikan sebanyak 23 geran berjumlah RM10,000 kepada 23 wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan parlimen berkenaan untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu