LZNK sasar kutipan zakat RM225 juta tahun ini [ 7m ago ]

Berita POLITIK


Lima fokus calon PH di Tanjung Piai - Muhyiddin

Tarikh kemaskini: 28/10/2019
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memperkenalkan calon PH Karmaine Sardini, 66, untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan pelancaran jentera PRK Tanjung Piai di Dewan Hai Kee Hall Batu 34 Pontian hari ini.
PONTIAN, 28 Okt -- Menangani kos sara hidup dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda merupakan antara lima perkara utama yang perlu ditumpukan calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan perkara itu berkata lima perkara utama yang dilihat melibatkan masyarakat tempatan, yang harus diambil perhatian.

“Saya mahu cadangkan wakil rakyat yang akan dipilih (pengundi) dari PH ini akan tumpukan lima perkara utama iaitu satu, mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup yang merupakan bukan masalah baru.

Kedua, meningkatkan keselesaan hidup, isu-isu berkenaan pencemaran alam dan sungai dan sebagainya mesti kita bantu supaya kehidupan penduduk di Tanjung Piai terpelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon dan Pelancaran Jentera PH di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jentera PH PRK Tanjung Piai yang juga Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Muhyiddin berkata perkara ketiga dan keempat yang perlu ditumpukan adalah memperbanyakkan rumah mampu milik dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

“Syarikat swasta juga elok digalakkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Tanjung Piai.

Keempat, antara program yang harus wakil rakyat kita tumpukan adalah meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan supaya penduduk sentiasa sihat,” katanya.

Manakala yang kelima, Muhyiddin berkata meningkatkan peluang pekerjaan terutama kepada anak-anak muda dan mereka yang mempunyai pendapatan yang kecil juga perlu diambil perhatian.

“Kalau mereka tidak ada latihan, kita akan beri. Tiada peluang pekerjaan, kita akan wujudkan industri dan kilang-kilang lebih banyak supaya mereka dapat bekerja, jadi mereka tidak perlu keluar kawasan dan ke Singapura.

Kalau kita wujudkan industri pelancongan juga, akan ada banyak peluang pekerjaan (kepada golongan muda),” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang diumumkan sebagai sebagai calon PH PRK Parlimen Tanjung Piai berkata beliau akan melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin jika dipilih.

Mengulas mengenai lima perkara utama yang dibangkitkan oleh Muhyiddin, beliau berkata sudah mengenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai yang kini sudah pun mula kelihatan.

“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baru yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baru dari Johor Bahru ke Tanjung Piai dan ambil masa 20 minit.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu