JKR Johor diminta kenal pasti jalan terjejas akibat banjir [ 3h ago ]

Berita POLITIK


SPR gesa bakal calon PRK Tanjung Piai isi, semak borang awal

Tarikh kemaskini: 29/10/2019
PUTRAJAYA, 29 Okt -- Semua bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P165 Tanjung Piai, Johor digesa membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka sebelum hari penamaan calon pada 2 Nov ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengisian boleh dilakukan di pejabat pegawai pengurus iaitu di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor di Johor Bahru.

Katanya, semakan awal itu bertujuan memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kesilapan semasa hari penamaan calon.

"Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari berkenaan berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Malah ia juga dapat memberi peluang kepada parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk mencari calon yang layak dan membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian antara pukul 9.00 pagi hingga 10 pagi.

Bakal calon juga digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal serta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon, katanya.

"Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak," katanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu