Lelaki ditemukan lemas berhampiran jeti Kampung Mawai Baru [ 37m ago ]

Berita POLITIK


Kesederhanaan peribadi Karmainie satu kelebihan

Tarikh kemaskini: 30/10/2019
Karmaine Sardini
PONTIAN, 30 Oktober -- Kesederhanaan peribadi yang dimiliki calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dilihat satu kelebihan bagi PH untuk meraih sokongan masyarakat setempat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kayat berkata Karmainie yang telah menetap di kawasan Pontian dalam tempoh lama juga dilihat sudah sebati dan mesra dengan masyarakat tempatan.

"Saya kira kedudukan Haji Karmaine di sini merupakan satu kelebihan dan keluarganya yang besar sudah lama berada di sini, bertahun-tahun.

"Beliau juga seorang tokoh sederhana dan disegani masyarakat di sini dan saya kira beliau boleh menjadi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dan semoga beliau dapat kejayaan di sini nanti," katanya yang juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Suhaizan berkata demikian selepas merasmikan Bazar Peduli Rakyat (BPR) DUN Kukup di Simpang Sri Menanti-Parit Haji Adnan di sini hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Dalam perkembangan berlainan, Suhaizan berkata program BPR ini diwujudkan merupakan alternatif tambahan dan juga sebagai platform kepada peladang atau peniaga kecil untuk memasarkan produk hasil keluaran mereka.

"Program ini dapat menampilkan produk- produk yang diusahakan oleh anak tempatan dan saya kira ini adalah satu usaha yang baik yang mana kita beri peluang untuk mereka pamerkan produk mereka.

"Program seperti ini perlu dikembangkan untuk beri peluang kepada anak tempatan kerana menerusi program ini, masyarakat sekitar dapat kenal produk mereka dan ini peluang mereka untuk tingkatkan produk di kawasan ini dan di luar kawasan mereka," katanya lagi.

Program BPR yang merupakan kerjasama tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu menawarkan pelbagai jenis produk terutamanya barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah dari pasaran.

Dalam majlis berkenaan, Suhaizan turut menyampaikan sumbangan beras kepada kira-kira 20 golongan asnaf dan ibu tunggal sekitar kawasan berkenaan.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu