Kekacauan Sosial: Biro pendidikan Hong Kong pertimbang hukum 30 guru kerana salah laku profesional [ 13m ago ]

Berita POLITIK


PRK Tanjung Piai: Jentera Amanah siap sedia bantu calon PH

Tarikh kemaskini: 31/10/2019
PONTIAN, 31 Okt -- Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) telah digerakkan dan bersiap sedia membantu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 Nov ini.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata bagi Amanah, Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai adalah wakil kepada setiap parti komponen PH.

"Seperti PRK sebelum ini, Amanah telah mengaktifkan semua bilik gerakan. Calon itu mewakili kita semua.

"Kita akan bantu sedaya upaya untuk memastikan sokongan rakyat kepada PH dan ia amat penting bagi melihat kepercayaan dan keyakinan mereka (rakyat) terhadap PH di sebalik fitnah yang akan dimainkan pihak tertentu," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Rahmah dan Wacana Murabbi Ummah Negeri Johor di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, dekat sini hari ini.

Mujahid juga yakin PH mampu memenangi serta mengekalkan kerusi Parlimen tersebut namun ia bergantung kepada jentera parti untuk meyakinkan pengundi di kawasan itu supaya dapat meneruskan legasi dan visi Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala tarikh penamaan calon PRK itu Sabtu ini dan pengundian awal diadakan pada 12 Nov.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu mewakili PH dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu