Kelantan tambah pokok rhu majukan 'Pulau Nami Kelantan' [ 7m ago ]

Berita POLITIK


DUN Pekan Nanas tumpuan awal kempen PRK Tg Piai

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Oleh Kamarul Ariffin Md Yasin dan Mohd Faizal Hassan

PONTIAN, 8 Nov -- Sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula 2 Nov lepas, tiga parti utama yang bertanding - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan lebih banyak menumpukan kempen awal mereka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua kawasan DUN dengan satu lagi adalah Kukup. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DUN Pekan Nanas menjadi milik Pakatan Harapan (PH) manakala DUN Kukup dikuasai Barisan Nasional (BN), dan ramai percaya kemenangan PH di Tanjung Piai adalah disebabkan sokongan besar pengundi di Pekan Nanas kepada PH.

Tumpuan awal di kawasan DUN Pekan Nanas pada awal-awal kempen 14 hari itu mungkin disebabkan pada PRK Tanjung Piai kali ini PH berusaha keras mengekalkan DUN itu sebagai kawasan putih buat mereka manakala BN pula mahu mengubah kawasan hitam menjadi putih, dengan Gerakan turut sama di Pekan Nanas, kerana anggapan pengundi di DUN Kukup sudah ada calon pilihan mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Pekan Nanas mendapati antara isu yang sering dibangkitkan masyarakat adalah berkaitan ekonomi dan peluang pekerjaan yang perlu dipertingkatkan lagi tidak kira sesiapa yang menjadi wakil rakyat.

Untuk mendapat perhatian pengundi di Pekan Nanas bukanlah tugas mudah bagi calon-calon PRK ini. Menyedari akan pentingnya undi mereka pada PRK kali ini, pengundi di Pekan Nanas dilihat bersikap ‘agak sombong’ dan ‘demanding’ dengan calon-calon bertanding.

Persoalan utama yang meniti di bibir masyarakat dan pengundi dalam kawasan DUN Pekan Nanas adalah isu-isu atau masalah yang akan diangkat oleh seseorang wakil rakyat atau bakal wakil rakyat sama ada untuk mencari penyelesaian, modal politik atau sekadar mainan politik.

Bagi ADUN Pekan Nanas Yeo Tung Siong daripada DAP/Pakatan Harapan, antara isu di kawasan itu yang perlu diberi tumpuan adalah jalan raya penghubung Pekan Nanas-Pontian, pembinaan hospital baharu, pembinaan pusat dialisis dan pembinaan stadium mini baharu.
Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng

Yeo berkata isu jalan raya menghubungkan Pekan Nanas-Pontian sejauh kira-kira 10 km yang mendap dan berlubang perlu diselesaikan kerana sudah berulang kali dibaiki dan ia merupakan penghubung utama ke Gelang Patah-Skudai-Johor Bahru seterusnya ke Singapura menjadikannya ia laluan penting dalam mencari rezeki bagi kebanyakan penduduk di Pontian dan Pekan Nanas.

"Jalan Pekan Nanas-Pontian merupakan jalan tanah gambut menyebabkan jalan kerap rosak, tidak rata dan mendap. Ia memerlukan penyelesaian jangka panjang. Tiada guna selalu betulkan tetapi rosak semula,” katanya ketika ditemui Bernama.

Berkaitan hospital baharu di daerah Pontian, Yeo berkata ia sangat diperlukan bagi menampung pertambahan penduduk manakala pembinaan pusat hemodialisis juga penting kerana kawasan ini tidak mempunyai pusat sedemikian sama ada di bawah swasta mahupun kerajaan.

Beliau juga turut berharap agar pembinaan sebuah stadium mini di kawasan Pekan Nanas untuk aktiviti riadah dan bersukan kerana ketika ini tiada taman awam yang mempunyai padang bagi aktiviti tersebut.

Yeo turut menegaskan pentingnya menggunakan platform media sosial seperti laman Facebook bagi memberikan laporan dan situasi terkini supaya permasalahan rakyat diselesaikan dan bukannya sekadar mencari perhatian sahaja.
Calon Berjasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz

Pada PRU14, terdapat 26,608 pengundi berdaftar di kawasan DUN Pekan Nanas, dan Yeo menang dengan mendapat 11,856 undi menewaskan Tan Eng Meng (BN-MCA) dengan majoriti 1,308 undian.

Pengundi mengikut statistik tersebut meliputi Melayu 53.36 peratus; Cina 45.11 peratus; India satu peratus dan selebihnya kaum lain-lain.

Hari pengundian PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 16 Nov ini. Ia diadakan susulan kematian Ahli Parlimen sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, akibat komplikasi jantung, 21 Sept lepas.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini dengan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu