Lapan unit hebahan bergerak ingatkan masyarakat Tg Piai keluar mengundi [ 3m ago ]

Berita POLITIK


Nelayan Tanjung Piai perlukan pembelaan

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Zamdidaila Md Amin, 48,
Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

PONTIAN, 8 Nov -- Aktiviti pembangunan yang dijalankan berhampiran kawasan laut dan pantai di Parlimen Tanjung Piai telah membawa kesan negatif kepada kegiatan ekonomi nelayan terutama hasil tangkapan yang semakin merosot.

Masalah yang telah lama membelenggu mereka terutama nelayan pesisir pantai diharapkan dapat dicari jalan penyelesaian kerana ia mampu menggugat punca rezeki mereka.

Bagi Zamdilaila Md Amin, 48, ekonomi nelayan di kawasan Parlimen Tanjung Piai semakin meruncing akibat hasil tangkapan laut yang merosot.

"Kawasan kami mencari ikan semakin mengecil dan jumlah tangkapan terus merosot akibat aktiviti pembangunan di laut selain menjadi lokasi kapal besar berlabuh,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya nelayan yang menerima kesan daripada aktiviti pembangunan perlu dibantu menerusi aktiviti perikanan alternatif seperti ternakan kupang atau ikan dalam sangkar.

"Jika ada program ternakan kupang, tiram atau ikan dalam sangkar, ia amat membantu kami di sini, sambil menternak kami juga boleh teruskan aktiviti menangkap ikan," katanya.

Masalah lain yang turut mereka hadapi adalah jeti yang berada dalam keadaan tidak baik dan tidak selamat untuk digunakan.

Antara jeti yang dikenal pasti mengalami masalah itu adalah Jeti Pengkalan Tanjung Piai yang merupakan antara 10 jeti nelayan yang utama di kawasan Tanjung Piai. Jeti berusia lebih 40 tahun itu terletak kira-kira satu kilometer (km) dari Taman Negara Tanjung Piai dan 30 km dari Pekan Pontian.

Tinjauan mendapati struktur jeti yang diperbuat daripada konkrit dan kayu, sebahagian besarnya sudah tidak lagi kukuh dan berada dalam keadaan uzur dan berbahaya.

Yaacob Mohd Said, 67, yang menjadi nelayan sejak di bangku sekolah berkata keadaan jeti yang usang menyukarkan aktiviti nelayan di situ, dan meletak harapan besar untuk melihat kemudahan di jeti mereka dinaik taraf.

"Ada struktur yang rosak teruk, malah warung kecil di jeti ini tidak lagi dapat beroperasi kerana tiang cerucuknya mereput dan tidak selamat," katanya.

Jelas Yaacob lagi, jeti itu juga berpotensi menjadi kawasan pelancongan jika dibina sebuah medan ikan bakar, yang secara langsung dapat memberikan pendapatan sampingan kepada mereka.

"Jeti sudah dekat dengan taman negara dan bersebelah dengan sebuah resort. Kami yakin jika boleh dinaik taraf dan dibina medan selera ikan bakar misalnya, kawasan ini mampu menarik pelancong. Ia sekali gus membantu membuka peluang pendapatan sampingan kepada nelayan dan tidak hanya mengharapkan hasil tangkapan laut semata-mata,” katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata beliau memang menyedari masalah yang membelenggu nelayan di Tanjung Piai, yang merupakan antara aktiviti ekonomi utama penduduk setempat.

“…terutama nelayan pantai, mereka kena keluar dari kawasan pantai dan pergi ke tempat yang lebih dalam...tetap melibatkan kos yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diperkenalkan industri ternakan tiram dan ikan sembilang dalam sangkar bagi membantu golongan nelayan.

"Cadangan saya untuk memperkenalkan produk baharu bagi nelayan di sini seperti ternakan tiram dan ikan sembilang, kerana kedua-duanya mempunyai nilai pasaran yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu